Auto Added by WPeMatico

![]()
LIVERPOOL – Pengurus Arsenal, Mikel Arteta menegaskan, pasukan itu tidak panik meskipun diberikan tentangan sengit oleh Manchester City dalam perebutan takhta Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini.
The Gunners kembali merampas kedudukan di persada liga selepas mencatat kemenangan tipis 1-0 ke atas Everton pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Hill Dickinson awal pagi semalam.
Gol tunggal perlawanan menerusi sepakan penalti Viktor Gyokeres sudah cukup buat The Gunners untuk memintas City yang berada di puncak liga buat seketika selepas menewaskan West Ham United.
“Kami langsung tidak memberikan perhatian kepada perkara itu (City di puncak liga), hanya anda yang peduli. Kami hanya fokus kepada apa yang boleh dikawal seperti permainan sendiri serta keputusan perlawanan.
“Semua pemain sedar ia bukanlah sesuatu yang senang kerana saingan liga masih panjang tetapi kami perlu menerima hakikat ini. Apa yang penting adalah untuk terus bekerja keras dalam latihan,” katanya.
Walaupun kempunan untuk mencatat kemenangan dengan jaringan lebih besar, namun pengendali dari Sepanyol itu mengakui dapat menarik nafas lega kerana mereka berjaya membawa pulang tiga mata penting.
“Kami sepatutnya menang dengan jaringan lebih besar tetapi kami tetap gembira dengan kemenangan ini. Bukan mudah untuk bermain di sini menentang sebuah pasukan seperti Everton,” ujar Arteta. – AGENSI
The post EPL: Arsenal akui masih belum panik appeared first on Kosmo Digital.