Auto Added by WPeMatico

![]()
SAYA ingin bertanya, adakah talak penyelesaian kepada isteri yang didakwa nusyuz oleh suaminya? Mohon pencerahan. Terima kasih.
JAWAPAN: NUSYUZ dari sudut bahasa berasal daripada perkataan nasyz bermaksud tempat tinggi. Definisi nusyuz dari sudut istilah syarak, kebiasaannya disifatkan kepada isteri yang telah berkelakuan meninggi diri kepada suaminya dengan mengingkari ketaatan kepada suami seperti diwajibkan oleh Allah SWT.
Firman Allah SWT: “Dan perempuan-perempuan yang kamu bimbang melakukan perbuatan derhaka (nusyuz) hendaklah kamu menasihati mereka, dan (jika mereka berdegil) pulaukanlah mereka di tempat tidur, dan (kalau juga mereka masih degil) pukullah mereka (dengan pukulan ringan yang bertujuan mengajarnya).” (Surah al-Nisaa’: 34)
Perbuatan nusyuz seorang isteri adalah haram dan termasuk salah satu daripada dosa-dosa besar, dan akan dikenakan hukuman bagi sesiapa yang melakukannya. Dan antara perbuatan nusyuz isteri ialah keengganan isteri melayani suami di tempat tidur. (Rujuk: al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafi’e 4/90-92)
Dalam menangani isu nusyuz isteri, Islam meletakkan langkah-langkah yang perlu diambil oleh seorang suami. Bahkan, semua langkah-langkah tersebut lebih bersifat untuk mengelakkan penceraian.
Dengan erti kata lain, nusyuz tidak boleh dijadikan alasan untuk suami menceraikan isteri secara semberono, kecuali setelah mengambil semua langkah yang dipandukan oleh syarak.
Secara prinsipnya, seorang suami memiliki tanggungjawab untuk mendidik isterinya sekiranya isterinya tidak mentaatinya pada sesuatu perkara yang wajib ke atas isteri untuk taat.
Misalnya meninggalkan rumah tanpa izin suami atau enggan membenarkan suami menyetubuhinya tanpa keuzuran syar’ie yang membenarkannya dan keadaan-keadaan lain apabila isteri tidak mentaati dan memartabatkan kedudukan suami.
Sebahagian ulama mengatakan bahawa langkah-langkah mendidik isteri ini perlu dilakukan secara berurutan seperti dalam firman Allah dalam surah al-Nisaa’ ayat 34: “Hendaklah kamu menasihati mereka, dan (jika mereka berdegil) pulaukanlah mereka di tempat tidur, dan (kalau juga mereka masih degil) pukullah mereka (dengan pukulan ringan yang bertujuan mengajarnya).”
Tuntasnya, Islam telah menggariskan pelbagai hukum dan adab dalam kehidupan berumah tangga untuk mengekalkan kesejahteraan dan keharmonian antara suami dan isteri.
Dalam isu permasalahan nusyuz ini, Allah telah mensyariatkan kepada suami untuk mendidik isterinya dengan adab-adab dan cara-cara yang dibenarkan oleh syarak. Malahan, suami juga perlu jelas dan faham bahawa untuk mensabitkan nusyuz kepada isteri bukanlah boleh dilakukan sewenang-wenangnya.
Ia memerlukan prosedur dan pembuktian di mahkamah. Hal ini bertujuan menghalang sebarang penganiayaan dan kezaliman terhadap isteri.
The post Adakah talak penyelesaian isteri nusyuz? appeared first on Kosmo Digital.