Auto Added by WPeMatico

PETALING JAYA – “Cukup-cukuplah dengan alasan tidak sengaja atau silap pasang. Kita memerlukan kesedaran, bukan alasan”
Demikian kenyataan tegas Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Pulau Pinang, Muhammad Zakwan Mustafa Kamal berhubung insiden Jalur Gemilang dikibar secara terbalik.
Menurut beliau, AMK Pulau Pinang mengecam kejadian itu yang berlaku di hadapan premis perniagaan di Taman Bertam Perdana, Kepala Batas hari ini.
Tegas beliau, tindakan tersebut adalah biadab, tidak bertanggungjawab dan menghina maruah negara kerana Jalur Gemilang simbol kedaulatan, perpaduan dan harga diri rakyat Malaysia.
“Mengibarkannya secara terbalik adalah satu penghinaan yang tidak boleh diterima sama sekali, lebih-lebih lagi ketika kita sedang menyambut bulan kemerdekaan.
“AMK Pulau Pinang menuntut siasatan serta-merta oleh pihak berkuasa dan jika terbukti disengajakan ambil tindakan undang-undang tanpa kompromi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Muhammad Zakwan berkata, AMK Pulau Pinang mendesak pemilik premis itu supaya tampil memohon maaf secara terbuka kepada seluruh rakyat Malaysia.
Kata beliau, semua pemilik premis di Pulau Pinang perlu memastikan bendera negara dikibarkan dengan betul mengikut protokol dan dengan penuh rasa hormat.
Beliau berkata, Jalur Gemilang bukan hiasan, sebaliknya lambang pengorbanan pejuang kemerdekaan dan identiti negara.
“Mengabaikan atau mempermainkannya adalah satu bentuk pengkhianatan terhadap nilai patriotisme. AMK Pulau Pinang tidak akan berdiam diri apabila simbol negara dihina.
“Kami berdiri teguh bersama rakyat yang cintakan Malaysia, menuntut keadilan dan memastikan perkara seperti ini tidak berulang,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post Cukup-cukuplah alasan tidak sengaja atau silap pasang – AMK Pulau Pinang appeared first on Kosmo Digital.