Auto Added by WPeMatico

IPOH – Seorang pengajar di sebuah institut memandu dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal ke atas remaja perempuan berusia 17 tahun, bulan lalu.
Tertuduh, Lim Chin Leong, 60, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Jean Sharmila Jesudason.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal dengan cara memegang dan meletakkan tangan di atas paha mangsa di sebuah pusat memandu di Kampung Paloh dalam daerah Ipoh pada pukul 10 pagi, 7 Julai 2025.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Qurratu’aini Khalifah manakala tertuduh diwakili peguam, R. Rajasegaran.
Terdahulu, Qurratu’aini tidak menawarkan jaminan kepada tertuduh namun sekiranya dibenarkan mahkamah, jumlah jaminan yang dicadangkan sebanyak RM20,000 selain syarat tambahan tidak dibenarkan menggangu mangsa dan saksi pendakwaan.
Bagaimanapun, Rajasegaran memohon jumlah jaminan minimum dan memaklumkan lelaki itu akan dijamin oleh anak kandungnya yang bekerja sebagai akauntan dan tinggal bersama tertuduh.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan melapor diri di balai polis pada setiap awal bulan dan tidak mengggangu mangsa serta saksi pendakwaan sehingga kes selesai. Sebutan semula kes ditetapkan pada 12 September depan. – KOSMO! ONLINE
The post ‘Cikgu’ sekolah memandu tidak mengaku ‘sentuh’ pelajar appeared first on Kosmo Digital.