Auto Added by WPeMatico

ALOR SETAR – Seorang lelaki menggemparkan penduduk Kampung Pida 3, Jerlun apabila memenggal kepala abang iparnya hingga putus dengan sebilah parang di kawasan sawah malam kelmarin.
Dalam kejadian pukul 7.05 malam itu, kepala Nasir Md. Nayan, 45, ditemukan satu meter dari badannya. Lebih menyayat hati, isteri mangsa, Marliana Awang, 39, hanya mampu meriba mayat suaminya yang tidak sempurna dan diselaputi selut selama dua jam di lokasi tersebut.
Suspek yang berusia 38 tahun bagaimanapun berjaya diberkas pada pukul 8 malam selepas dipujuk anggota polis selama 15 minit.
Ketika itu, suspek berada di dalam bilik di rumahnya yang terletak 30 meter dari lokasi kejadian sambil memegang parang.
Marliana berkata, dia yang tiba di lokasi sebaik mengetahui mengenai kejadian itu melihat keadaan arwah suaminya begitu menyayat hati.
“Saya urut dada dan buang selut pada tubuhnya (suami). Saya riba suami dari sebelum azan maghrib sampai hampir pukul 10 malam,” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik, Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini semalam.

Katanya, sebelum insiden ngeri itu berlaku, dia sempat berbual dengan suaminya dan meminta lelaki itu membawa masuk kambing ke kandang dekat rumah ibu yang terletak berdekatan.
“Selepas itu, saya tunggu lama dan tertanya-tanya kenapa suami masih belum balik sebelum penduduk kampung datang beritahu ada orang bergaduh dalam sawah,” katanya.
Menurut wanita itu, dia yang menunggang motosikal ke lokasi kejadian mendapati suaminya terbaring di dalam sawah.
“Saya redah sawah yang berselut dan riba badan suami. Selepas itu penduduk dan anggota polis sampai, mereka minta saya naik. Sukar nak gambarkan perasaan waktu itu, Allah ambil dia dalam keadaan begitu, namun saya reda,” ujarnya.
Katanya, sepanjang memangku mayat suaminya, dia berdoa supaya segala urusan dipermudahkan kerana mangsa seorang suami yang baik dan rapat dengan dua anak lelaki mereka berusia tujuh dan 12 tahun.
Marliana berkata, suspek yang juga adiknya memaklumkan kepada polis bahawa dia ternampak mangsa memanggilnya dan seperti mengejek ketika mahu keluar untuk mandi.
“Mungkin itu halusinasi sampai dia sanggup tetak suami dengan kejam,” katanya yang memberitahu suspek mengalami gangguan perasaan sejak empat tahun lalu.
Tambahnya, adiknya kerap mengamuk dan bercakap seorang diri sejak dua bulan lalu kerana tidak memakan ubat yang diberikan doktor, namun perbuatannya itu terhad di dalam rumah dan tidak mengganggu orang lain.
“Kali terakhir dia mengamuk menggunakan parang sampai terpaksa panggil polis. Kejadian ini berlaku lebih dua tahun lalu.
“Biasanya kalau orang luar (tidak dikenali) datang rumah, dia akan masuk dalam bilik. Dia tinggal bersama emak kami yang berusia 65 tahun dan seorang lagi adik berusia 28 tahun,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Mohd. Radzi Abdul Rahim berkata, pihaknya merampas sebilah parang sepanjang 30 sentimeter yang digunakan dalam kejadian tersebut.
“Siasatan mendapati mangsa dan suspek yang bekerja sebagai pesawah tidak mempunyai rekod jenayah. Suspek masih bujang dan rumah mereka terletak berhampiran.
“Setakat ini siasatan masih diteruskan bagi mengenal pasti motif serangan tersebut. Ujian saringan air kencing yang dilakukan ke atas suspek didapati negatif dadah,” katanya.
Dalam pada itu, suspek dibawa ke Mahkamah Majistret Alor Setar dan dibenarkan direman selama enam hari bermula semalam untuk siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Perintah reman ke atas suspek dibenarkan oleh Majistret Siti Nor Hasliza Md. Ali. -KOSMO! ONLINE
The post ‘Kali terakhir dia mengamuk guna parang dua tahun lalu’ appeared first on Kosmo Digital.