Auto Added by WPeMatico

MIAMI – Pengendali baharu Real Madrid, Xabi Alonso mahu peminat kekal bertenang selepas pasukan hanya meraih keputusan seri 1-1 ketika bertemu Al Hilal dalam aksi pertama Kumpulan H saingan Piala Dunia Kelab awal pagi semalam.
Pada perlawanan di Stadium Hard Rock itu, Alonso membuat debut bersama The Galacticos selepas menggantikan Carlo Ancelotti bulan ini dilihat gagal mempamerkan corak permainan yang ampuh dalam usaha memburu kemenangan.
Real berjaya mendahului menerusi Gonzalo García, tetapi wakil Arab Saudi itu menyamakan kedudukan hasil penyudah Ruben Neves sebelum penjaga gol, Yassine Bounou muncul wira menyelamatkan penalti yang diambil Federico Valverde pada penghujung saingan.
Kata Alonso, masih banyak ruang yang perlu diperbaiki oleh dan mereka perlukan masa untuk menyesuaikan diri dengan falsafah bola sepak yang cuba diterapkan.
“Saya sudah jangka keputusan seperti ini kerana setiap perubahan perlukan masa untuk berhasil. Saya baru sembilan hari bersama pasukan dan ada beberapa pemain yang baru menyertai kami.
“Namun, saya gembira dengan komitmen yang mereka berikan terutama pada babak kedua apabila mereka cuba untuk beri tentangan lebih sengit berbanding separuh masa pertama,” katanya.
Mengulas lanjut, Alonso turut berharap dua tonggak baharu, Dean Huijsen dan Trent Alexander-Arnold dapat mempamerkan aksi lebih baik selepas membuat debut bersama pasukan.
“Huijsen dan Alexander-Arnold telah menunjukkan sedikit potensi mereka tetapi perjalanan baru sahaja bermula dan seperti rakan-rakan yang lain, mereka masih lagi dalam fasa sesuaikan diri,” katanya. – AGENSI
The post CWC: Debut Alonso kurang menyengat appeared first on Kosmo Digital.