Auto Added by WPeMatico

![]()
PETALING JAYA – Seorang jemaah umrah dari Pulau Pinang, Allahyarham Fazita Khalid, yang berangkat ke Tanah Suci akhirnya kembali menghadap Ilahi di bumi Madinah selepas 20 hari bertarung nyawa akibat jangkitan paru-paru yang serius.
Pemergian arwah bukan sahaja meruntun hati keluarga yang setia menanti kepulangannya di tanah air, malah menjadi kematian yang dicemburui kerana di dikebumikan di perkuburan Baqi.
Menerusi perkongsian kakaknya di Facebook Rosita Khalid, Allahyarham yang berangkat ke Tanah Suci pada 23 Januari lalu bersama Andalusia Travel & Tours Sdn. Bhd. dijadualkan pulang ke tanah air pada semalam (2 Februari).
Bagaimanapun, pada hari kepulangan di Lapangan Terbang Madinah, Fazita dilaporkan mengalami sesak nafas teruk ketika proses daftar masuk penerbangan.
“Fazita menghubungi saya melalui WhatsApp mengatakan dia sesak nafas dan merasakan nafasnya pendek seperti hilang nyawa dan sanggup untuk hilang nyawa kerana rasa sangat sesak nafas yang teruk.
“Fazita juga kehilangan suara dan batuk pada masa itu, dia ada berkata dia tak dapat nak berkomunikasi dengan mutawif kerana tak mampu bercakap. Untuk pengetahuan Fazita pergi berseorangan tanpa ditemani oleh sesiapa dan Fazita tiada sejarah sakit apa-apa, dia sihat,” tulis kakaknya.
Rosita berkata, pihak mutawif yang dikenali sebagai Ustaz Wan Halim segera dimaklumkan sebelum pasukan perubatan lapangan terbang tiba untuk memberikan rawatan kecemasan.
Allahyarham dirawat di Hospital Mouwasat Madinah sebelum dipindahkan ke Hospital King Fahd Madinah bagi rawatan lanjut.
Katanya, selepas diberikan bantuan oksigen, Allahyarham masih sempat membalas mesej sebelum dimaklumkan dia tidak lagi sesuai untuk menaiki penerbangan pulang.
“Pada masa ini Fazita dah tak balas mesej saya, sampai ke malam dan esok pagi nya masih tak balas. Saya mesej ustaz Andalusia untuk bertanyakan khabar adik saya, namun disebabkan kesibukkan mutawif disana, saya faham.
“Kemudian kami menerima berita yang Fazita berada di ICU kerana jangkitan paru-paru Fazita bertarung nyawa selama 20 hari. Dalam 20 hari itu Fazita sedar dari ‘intubate’ (dimasukkan tiub pernafasan) selama 12 hari.
“Masa sedar dia mampu senyum, minum air sikit-sikit, angguk kepala, dia boleh berhubung dengan kami melalui panggilan video cuma tak boleh bercakap disebabkan oleh tiub oksigen di mulutnya,” katanya.
Sepanjang tempoh rawatan, ibu bapa, dua kakak serta ahli keluarga lain bergilir-gilir ke Madinah untuk memastikan Fazita tidak bersendirian.
Namun pada 18 Februari, keadaan Fazita kembali tidak sedarkan diri sebelum dilaporkan muntah darah pada keesokan harinya.
Pada 20 Februari, pihak hospital memaklumkan keadaannya kritikal dengan peluang tipis untuk pulih sebelum Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada 22 Februari kira-kira pukul 3.45 petang waktu tempatan.
Jenazah Allahyarhamah selamat dikebumikan di Perkuburan Baqi, Madinah.
“Alhamdulillah kami (dua kakak Fazita) sempat melihat wajahnya dan memandikan jenazah,” katanya.
Sementara itu, Kosmo! masih lagi berusaha menghubungi kakaknya untuk mendapatkan cerita sebenar.
Difahamkan, kedua-dua kakaknya dalam perjalanan pulang ke Kuala Lumpur hari ini bersama jemaah umrah yang lain. – KOSMO! ONLINE
The post ‘Hadiah’ Ramadan, Allahyarham Fazita dikebumikan di perkuburan Baqi appeared first on Kosmo Digital.
