Auto Added by WPeMatico

![]()
IPOH – Empat serbuan berasingan semalam menyaksikan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak berjaya menyitapelbagai aksesori telefon bimbit berjenama ternama disyaki tiruan bernilai RM27,742.
Pengarah KPDN Perak, Datuk Kamalludin Ismail berkata, serbuan yang dilaksanakan melibatkan premis perniagaan di sini, Manjung, Parit Buntar dan Taiping.
“Serbuan dilakukan hasil aduan dan maklumat oleh wakil pemilik cap dagang yang mengadu terdapatnya penjualan alat ganti dan aksesori telefon bimbit berjenama terkenal yang disyaki tiruan di premis-premis berkenaan.
“Hasil pemeriksaan yang dilakukan telah menemui sebanyak 913 unit aksesori telefon bimbit yang kesemuanya disyaki menggunakan cap dagangan berjenama yang dipakaikan dengan salah pada barangan tersebut,” katanya di sini hari ini.
Beliau berkata, wakil syarikat cap dagang telah melakukan pengesahan awal ke atas barangan terbabit dan disyaki premis telah melakukan kesalahan di bawah Akta Cap Dagangan 2019.
Kamalludin berkata, kesemua barangan dan dokumen telah disita untuk siasatan lanjut.
“Nilai rampasan keseluruhan melibatkan empat premis di daerah tersebut dianggarkan bernilai RM27,742. Kes akan disiasat di bawah Akta Cap Dagangan 2019,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post KPDN sita aksesori telefon bimbit tiruan bernilai RM27,742 appeared first on Kosmo Digital.