Auto Added by WPeMatico

KUALA LUMPUR – Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, kementeriannya kini sedang meneliti untuk tidak membenarkan kanak-kanak bawah 13 tahun mempunyai akaun media sosial.
Ahli Parlimen Lembah Pantai itu berkata, bagi individu yang berumur 13 tahun ke atas, modul literasi digital perlu diberi kepada mereka agar memahami kerencaman maklumat yang sedia ada.
“Sekiranya ahli Yang Berhormat bertemu dengan mana-mana kumpulan pelajar bawah 13 tahun dan bertanya kepada mereka adakah anda mempunyai akaun TikTok, ramai yang akan kata ya.
“Ini sebenarnya satu kesalahan yang diakui oleh pihak TikTok sendiri. Jadi, kita sedang teliti..salah satu caranya ialah bawah 13 tahun kita tidak membenarkan mempunyai akaun media sosial,” katanya sewaktu pertanyaan menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Mumtaz Md Nawi (PN-Tumpat) berkait cadangan mewujudkan dasar khas kebangsaan bagi kesejahteraan kanak-kanak khususnya bagi kandungan dalam talian.
Dalam pada itu, Fahmi memaklumkan sebanyak 1,443 kandungan jelik dan jelik melampau membabitkan kanak-kanak diturunkan penyedia perkhidmatan berikutan permohonan daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
Katanya, tindakan ini berikutan pelanggaran peruntukan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) serta garis panduan komuniti penyedia platform. – KOSMO! ONLINE.
The post Individu bawah 13 tahun mungkin tidak dibenar ada media sosial appeared first on Kosmo Digital.