Auto Added by WPeMatico

![]()
MUAR – Hasrat seorang warga emas untuk keluar bersarapan bertukar tragedi apabila dia ditemui meninggal dunia di laluan pejalan kaki di kawasan parkir kenderaan di hadapan sebuah premis di Jalan Meriam di sini, pagi tadi.
Mangsa lelaki berusia 78 tahun itu dipercayai meninggal dunia ketika berada di kawasan berkenaan sebelum mayatnya ditemukan orang awam kira-kira pukul 8.30 pagi.
Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, siasatan awal mendapati mangsa merupakan penghuni sebuah pusat jagaan warga emas di daerah ini sejak 2024.
“Menurut pengurusan pusat jagaan berkenaan, mangsa lazimnya berjalan kaki ke kawasan Bentayan untuk bersarapan.
“Bagaimanapun, sejak kebelakangan ini mangsa sering mengadu mengalami masalah pening kepala selain mempunyai sejarah penyakit kronik,”katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut beliau, pemeriksaan awal di lokasi kejadian dan terhadap tubuh mangsa tidak menemukan sebarang kesan kecederaan luaran, unsur jenayah atau tanda-tanda berlaku pergelutan.
Katanya, pemeriksaan lanjut oleh pegawai perubatan forensik Hospital Pakar Sultanah Fatimah turut mendapati tiada unsur jenayah atau kecederaan mencurigakan pada tubuh mangsa.
“Punca kematian dipercayai berkaitan komplikasi penyakit paru-paru,” katanya.
Raiz Mukhliz berkata, berdasarkan hasil siasatan serta pemeriksaan forensik, polis mengklasifikasikan kes itu sebagai laporan kematian mengejut (Sudden Death Report – SDR).-KOSMO! ONLINE
The post Dijemput ajal ketika mahu bersarapan appeared first on Kosmo Digital.
