Auto Added by WPeMatico

![]()
PELARI pecut negara, Umar Osman menjadikan kejohanan di Singapura bulan depan sebagai pentas penting untuk mengembalikan semula rentak terbaiknya selepas melalui tempoh sukar akibat kecederaan.
Atlet berusia 22 tahun itu mengesahkan akan beraksi dalam acara 400 meter (m) serta 4x400m bersama rakan sepasukan termasuk Wan Muhammad Fazri Wan Zahari, namun tidak akan mengambil bahagian dalam acara 800m kali ini.
“Saya akan ke Singapura bersama Fazri dan akan bertanding dalam 400m serta 4x400m. Untuk kejohanan kali ini saya tidak akan masuk acara 800m,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Menurut Umar, keutamaan ketika ini bukan memburu keputusan besar, sebaliknya mendapatkan semula rentak larian selepas pulih daripada kecederaan hamstring yang sebelum ini menjejaskan momentumnya.
“Saya mahu dapatkan semula rentak dalam acara 400m kerana baru sahaja pulih daripada kecederaan. Selepas kecederaan itu saya rasa momentum sedikit hilang,” jelasnya.
Tambahnya, sasaran awal adalah untuk kembali menghampiri catatan terbaik peribadi sebelum menetapkan hala tuju lebih besar bagi musim ini selepas terpaksa berehat hampir dua bulan.
“Saya mahu kembali kepada catatan sekitar 46 saat. Kalau dapat capai semula masa itu, barulah saya boleh fikirkan sasaran seterusnya,” ujarnya.
Umar turut mengakui keputusan di Singapura penting dalam menentukan peluangnya memburu tiket ke temasya utama termasuk Sukan Komanwel 2026 di Glasgow serta Sukan Asia 2026 di Aichii-Nagoya, Jepun.
Umar memiliki catatan terbaik peribadi 46.09 saat yang dilakar pada 2023, namun mengakui masih perlu bekerja keras untuk kembali mencapai tahap tersebut dalam masa terdekat.
The post Umar fokus dapatkan semula rentak appeared first on Kosmo Digital.
