Auto Added by WPeMatico

KUALA LUMPUR – Dua pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan seorang bekas pegawai agensi itu dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan melakukan rompakan berkumpulan terhadap seorang ahli perniagaan warga China pada 2021.
Hakim Izralizam Sanusi memutuskan demikian selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap dua pegawai SPRM Muhamad Haffiz Mohd. Radzi, 35, dan Mohd. Fahmee Mohamad Nor, 43, serta bekas pegawai agensi itu Azwan Asli, 40, di akhir kes pendakwaan.
“Pihak pendakwaan gagal membuktikan dan memenuhi elemen rompakan dalam transaksi tersebut, maka dengan ini saya melepas dan membebaskan kesemua tertuduh daripada pertuduhan tanpa perlu dipanggil membela diri,” kata hakim itu.
Dalam penghakimannya, Izralizam berkata terdapat laporan polis oleh mangsa yang merupakan saksi pendakwaan pertama (SP1), bahawa kehadiran tiga lelaki ke rumahnya adalah bagi memulakan siasatan berhubung kesalahan pengubahan wang haram.
“SP1 berkata beliau berasa terancam kerana ketiga-tiga tertuduh memaklumkan beliau mungkin akan ditahan sekiranya gagal memberikan kerjasama semasa siasatan, namun mahkamah mendapati ia bukanlah penahanan secara salah (wrongful restraints) sekiranya ia dibuat atas kapasiti pegawai SPRM,” katanya.
Kata hakim itu, tiada sebarang bukti mangsa diugut dengan senjata api oleh ketiga-tiga lelaki itu walaupun beliau mendakwa seorang daripada mereka membawa senjata api di dalam beg galasnya.
Pada 13 Disember 2023, ketiga-tiga tertuduh didakwa bersama-sama melakukan rompakan berkumpulan ke atas Kun Gao dengan merompak wang tunai RM952,690, 1,225 Yuan, satu bagasi berwarna perak dan satu beg jenama Louis Vuitton berwarna hitam milik lelaki itu.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah kondominium di Jalan Ampang, pada 12 tengah hari, 10 Disember 2021, mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nor Aisyah Mohd Zanyuin manakala ketiga-tiga tertuduh diwakili peguam Tan Sri Dzulkifli Ahmad dan Azzizul Shariman Mat Yusoff. – KOSMO! ONLINE
The post 2 pegawai, bekas pegawai SPRM bebas tuduhan rompak ahli perniagaan China appeared first on Kosmo Digital.