Auto Added by WPeMatico
Duit RM50,000 ganti rugi fitnah untuk pelajar miskin

![]()
PETALING JAYA – Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki akan memanfaatkan wang ganti rugi RM50,000 hasil penyelesaian kes fitnah melibatkan Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Wira Mas Ermieyati Samsudin dengan menyalurkannya ke akaun Wakaf Majlis Amanah Rakyat (Mara) bagi membantu pelajar miskin, daif dan anak yatim.
Perkara itu dimaklumkan oleh Asyraf Wajdi di laman Facebook susulan penghakiman persetujuan yang direkodkan Mahkamah Tinggi Melaka hari ini.
“Sebagaimana janji saya setiap sen RM50,000 wang ganti rugi tidak akan sesekali digunakan secara peribadi.
“Bahkan saya sudah minta pengurusan Mara untuk memasukkan wang ganti rugi apabila diterima nanti ke dalam akaun Wakaf Mara untuk manfaat pelajar-pelajar miskin, daif dan anak yatim,” katanya pada hantaran berkenaan.
Asyraf Wajdi berkata, defendan turut bersetuju untuk memohon maaf secara bertulis selain menarik balik dan memadam semua hantaran video di semua platform media sosial miliknya.
“Defendan juga bersetuju membayar ganti rugi sebanyak RM50,000 kepada Mara,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, keputusan tersebut diharap menjadi pengajaran kepada semua pihak agar lebih bertanggungjawab dan tidak sewenangnya mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah.
“Fitnah boleh menghancurkan reputasi individu serta institusi penting negara,” ujarnya.
Terdahulu, Mas Ermieyati yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) telah menuduh Asyraf Wajdi membazirkan dana Mara melalui lawatan mengejut, memotong program hafazan dan menghentikan pembiayaan pelajar dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET). – KOSMO! ONLINE
The post Duit RM50,000 ganti rugi fitnah untuk pelajar miskin appeared first on Kosmo Digital.
