Auto Added by WPeMatico

![]()
LONDON – Chelsea berdepan hukuman paling besar yang dijatuhkan oleh pentadbir Liga Perdana Inggeris apabila dilarang daripada melakukan urusan perpindahan pemain selama semusim.
Bagaimanapun, hukuman itu digantung untuk tempoh dua tahun sekali gus menyaksikan mereka masih boleh melakukan urusan perpindahan, namun ia bakal diaktifkan sekiranya mereka melakukan pelanggaran lagi dalam tempoh berkenaan.
Selain penggantungan tersebut, Chelsea juga didenda sebanyak £10.75m (RM56.08 juta) kerana didapati bersalah membuat pembayaran sebanyak £47.5 juta (RM247.81 juta) kepada ejen pemain antara 2011 hingga 2018 ketika di bawah pemilikan Roman Abramovich.
Pembayaran itu dilaporkan sebagai menyalahi undang-undang kerana ia dianggap sogokan untuk kelab itu mendapatkan khidmat beberapa pemain dengan cara yang tidak berlandaskan peraturan yang ditetapkan.
Liga Perdana Inggeris turut mendedahkan bahawa urusan Chelsea ketika mendapatkan khidmat beberapa pemain seperti Eden Hazard, Samuel Eto’o, Willian, Ramires, David Luiz, Andre Schurrle, Andreas Christansen dan Nemanja Matic ada melalui pembayaran rahsia kepada ejen yang dianggap sebagai menyalahi etika.
Sekurang-kurangnya terdapat enam urusan pembayaran menerusi akaun pesisir yang dianggap meragukan dan mereka percaya tiga daripada urusan tersebut melibatkan Hazard, Eto’o dan Christansen.
Chelsea turut berdepan penggantungan selama sembilan bulan serta-merta daripada mendaftar pemain-pemain muda selepas mereka turut dikesan melakukan pelanggaran peraturan antara tahun 2019 hingga 2022.
Pada awalnya, Chelsea berdepan denda sehingga £20 juta (RM104.34 juta), namun jumlah berkenaan dikurangkan separuh selepas mengambil kira laporan berkenaan dibuat sendiri oleh kelab itu selepas diambil alih oleh Clearlake Capital yang diterajui Todd Boehly. – AGENSI
The post EPL: Chelsea digantung, berdepan denda appeared first on Kosmo Digital.
