Auto Added by WPeMatico

![]()
PETALING JAYA – Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan memanggil bekas Ahli Parlimen Damansara, Tony Pua susulan hantaran dimuat naik di Facebook berhubung isu titah dan rukun negara.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M. Kumar berkata, ia susulan pihaknya membuka kertas siasatan terhadap Tony selepas menerima 28 laporan di seluruh negara.
Menurutnya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan iaitu kenyataan yang mendatangkan khianat awam serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
“Kita telah memulakan siasatan selepas menerima laporan polis dari seluruh negara.
“Pihak polis akan memanggil Tony dalam masa terdekat bagi membantu siasatan,” katanya ringkas ketika dihubungi hari ini.
Semalam, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menyarankan Adun Seri Kembangan Wong Siew Ki dan bekas exco Selangor Ronnie Liu hadir sekurang-kurangnya seminggu sekali ke Dataran Selangor bagi memahami dan menghayati prinsip Rukun Negara serta menghormati kedaulatan institusi diraja.
Tony dalam hantaran di Faceboook berkata, Malaysia mengamalkan sistem Raja Berperlembagaan, namun kuasa Raja adalah terhad kepada aspek tertentu seperti adat Melayu, Islam serta peranan perlembagaan seperti pelantikan Menteri Besar dan perkenan pembubaran Dewan Undangan Negeri.
“Ya, saya setia kepada Raja dan Negara, serta akan mematuhi Kedaulatan Undang-Undang yang berasaskan Perlembagaan sebagai undang-undang tertinggi negara. Bukan dekri atau titah,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post 28 laporan diterima, polis panggil Tony Pua dalam masa terdekat appeared first on Kosmo Digital.
