Auto Added by WPeMatico

![]()
KUALA LUMPUR – Perkhidmatan pengangkutan awam kendalian Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) akan beroperasi selama 24 jam pada 30 dan 31 Ogos bagi memudahkan orang ramai untuk memeriahkan sambutan Hari Kebangsaan 2026 di Dataran Putrajaya.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, komitmen tersebut dinyatakan oleh Prasarana selepas perbincangan dibuat dalam melancarkan perjalanan pengunjung ke lokasi tersebut.
“Kita akan berbincang dan untuk waktu ini maklumat awal boleh saya berikan, pihak Prasarana telah beri komitmen bahawa perkhidmatan awam selama 24 jam sempena Hari Kebangsaan iaitu pada 30 masuk ke 31 Ogos.
“Satu penambahbaikan berbanding sebelum ini dan kita juga ambil maklum beberapa perkara lain akan ditambah baik. Justeru, diharap dapat bantu lebih ramai bukan sahaja datang ke Putrajaya, tetapi untuk pulang selepas program,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media pada Program Ekspresi Jalur Gemilang Japen@Petronas di Stesen Petronas NPE Pantai Dalam hari ini.
Dalam pada itu, Fahmi berkata, Program Ekspresi Jalur Gemilang Japen@Petronas adalah anjuran Kementerian Komunikasi menerusi Jabatan Penerangan (Japen) dengan kerjasama Petronas dan dilaksanakan secara serentak di 15 stesen terpilih di seluruh negara.
Kataya, ia sebagai sebahagian daripada usaha menyemarakkan sambutan Bulan Kebangsaan serta mempergiat pelaksanaan Kempen 1 Rumah 1 Jalur Gemilang.
“Kita mengedarkan Jalur Gemilang untuk menyemarakkan lagi kecintaan kepada negara sempena Bulan Kebangsaan.
“Edaran dibuat termasuk tahun ini yang mana kita lebihkan magnet Jalur Gemilang yang boleh ditampal dan dibuka. Ia boleh diletakkan sama ada di hadapan kenderaan atau pintu penumpang belah kiri,” katanya.
Beliau turut meminta Japen, Radio Televisyen Malaysia (RTM) serta stesen radio dan stesen televisyen untuk lebih kerap memainkan lagu rasmi tema hari kebangsaan bertajuk ‘Aku Berjanji’ yang dicipta serta dinyanyikan oleh Faizal Tahir.
Katanya, rakyat Malaysia juga diseru mengibarkan Jalur Gemilang di kediaman, premis perniagaan, kenderaan serta tempat awam sepanjang tempoh sambutan Bulan Kebangsaan.
Kempen 1 Rumah 1 Jalur Gemilang akan dilaksanakan menerusi 11 program dan melibatkan sembilan kluster merangkumi pendidikan, pendidikan tinggi, kesihatan, keselamatan, agensi kerajaan Persekutuan dan negeri, komuniti, industri, rumah ibadat serta sukan. – KOSMO! ONLINE
The post Bas, tren kendalian Prasarana beroperasi 24 jam sempena Hari Kebangsaan appeared first on Kosmo Digital.
