Auto Added by WPeMatico

MELAKA – Sebuah bot pancung membawa 20 pendatang asing tanpa izin (PATI) termasuk dua kanak-kanak ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) ketika hanyut di perairan Tanjung Kling malam tadi.
Pengarah Maritim Negeri Melaka dan Negeri Sembilan, Kepten Maritim Salehuddin Zakaria berkata, bot berwarna biru itu dikesan pada kedudukan kira-kira 11 batu nautika barat daya Tanjung Kling pada pukul 9.25 malam.
Menurutnya, maklumat awal mengenai bot mencurigakan itu diterima daripada kapal dagang Viking Emerald yang disalurkan ke Pusat Penyelarasan Mencari dan Menyelamat Maritim (MRSC) Johor Bahru sebelum tindakan operasi digerakkan.
“Hasil rondaan Op Patkor Optima, pasukan kita berjaya mengesan bot tersebut dalam keadaan hanyut sebelum ditahan untuk pemeriksaan.
“Pemeriksaan lanjut mendapati terdapat 20 individu di atas bot berkenaan terdiri daripada 15 lelaki, lima wanita termasuk dua kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun dan kami turut menahan seorang tekong dan seorang awak-awak,” katanya kepada pemberita hari ini.
Salehuddin berkata, siasatan awal mendapati bot pancung berkenaan dipercayai menuju ke perairan Pulau Besar bagi tujuan pemindahan PATI ke bot tempatan sebelum kedua-dua enjin sangkutnya rosak.
Katanya, bot bersama semua penumpang kemudiannya ditunda ke Jeti Maritim Negeri Melaka dan Negeri Sembilan untuk tindakan lanjut di bawah Akta Imigresen 1959/63 serta Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM).- KOSMO! ONLINE
The post Bot pancung hanyut bawa 20 PATI termasuk kanak-kanak appeared first on Kosmo Digital.