Auto Added by WPeMatico

![]()
PETALING JAYA – Seramai 20 rakyat Malaysia yang menjadi mangsa sindiket penipuan pekerjaan di Myawaddy, Myanmar akhirnya selamat dibawa pulang hasil operasi bersepadu melibatkan Malaysia, Thailand dan Myanmar.
Kementerian Luar Negeri memaklumkan, kumpulan tersebut tiba di Kompleks ICQS Bukit Kayu Hitam sekitar pukul 7.20 malam kelmarin sebelum diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk siasatan lanjut.
Menurut Wisma Putra dalam satu kenyataan, berkata Kesemua rakyat Malaysia berkenaan adalah antara warga asing yang diselamatkan oleh pihak berkuasa Myanmar dalam operasi bersepadu membanteras sindiket penipuan dalam talian di kawasan Myawaddy.
“Melalui koordinasi antara Myanmar, Thailand dan Malaysia, pegawai Kedutaan Besar Malaysia di Bangkok telah ke Myawaddy melalui Jambatan Persahabatan Kedua Maesot-Myawaddy bagi mengesahkan identiti mangsa dan mengambil mereka di bawah jagaan Malaysia,” ujarnya.
Sepanjang operasi itu, Kedutaan Besar Malaysia di Yangon dan Bangkok menyediakan bantuan konsular, termasuk penginapan sementara, makanan serta rawatan asas kepada mangsa. Difahamkan, perjalanan dari Mae Sot ke Bukit Kayu Hitam mengambil masa kira-kira 26 jam.
Wisma Putra menyatakan kejayaan operasi kali ini merupakan kesinambungan kepada usaha-usaha sebelum ini dalam menyelamatkan rakyat Malaysia yang terperangkap dengan sindiket penipuan bekerja di luar negara.
Kerjasama rapat antara Kementerian Dalam Negeri, PDRM, Jabatan Imigresen dan misi diplomatik Malaysia di Bangkok, Yangon serta Songkhla menjadi faktor utama kejayaan operasi itu.
“Kementerian Luar Negeri merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Kerajaan Thailand dan pihak berkuasa Myanmar atas sokongan dan bantuan dalam memudahcara dan mempercepatkan pemulangan 20 rakyat Malaysia tersebut,”
“Kementerian akan terus komited menjaga kebajikan rakyat Malaysia di luar negara dan meneruskan bantuan konsular melalui misi diplomatik,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE
The post 20 mangsa sindiket tipu kerja erjaan di Myanmar selamat tiba Malaysia appeared first on Kosmo Digital.