Auto Added by WPeMatico

![]()
PETALING JAYA – Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah menggalakkan lebih banyak kajian dijalankan berkenaan sejarah ketamadunan Melayu serta perhubungan dengan tamadun lain di peringkat antarabangsa.
Seri Paduka Baginda bertitah, kajian akademik yang lebih mendalam ke atas sejarah tamadun Melayu dan penerapannya di Malaysia akan mengukuhkan lagi jati diri bangsa.
“Dalam kita sentiasa merancang pertumbuhan dan kemajuan untuk masa hadapan, kita mesti juga melihat kepada sejarah tamadun bagi mempelajari teladan zaman dahulu. Terdapat pelbagai sumber penyelidikan di seluruh dunia termasuk di British Library.
“Ini akan mengukuhkan jati diri dengan penerapan kesedaran yang lebih mendalam tentang identiti Bangsa Melayu,” titah Seri Paduka Baginda selepas berangkat membuat lawatan ke British Library di London, United Kingdom semalam.
Menurut laman Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, keberangkatan tiba Raja Permaisuri Agong beserta rombongan disambut oleh Pengelola British Library, Richard Davies; Ketua Kurator Bahagian Asia Tenggara, Datuk Dr. Annabel Teh Gallop serta Ketua Koleksi Asia dan Afrika perpustakaan itu, Luisa Elena Mengoni.
Kata laman Facebook tersebut, Raja Zarith Sofiah turut dipersembahkan penerangan tentang surat-surat Kesultanan Melayu dan hikayat serta puisi lama termasuk surat-surat purba Kesultanan Johor oleh Annabel yang juga seorang pakar sejarah persuratan Nusantara.
Turut mengiringi Seri Paduka Baginda ialah Setiausaha Kerajaan Johor, Datuk Asman Shah Abd. Rahman; Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor, Mohd. Fared Mohd. Khalid; Mufti Johor, Datuk Yahya Ahmad dan Pengarah Akademi Perkhidmatan Tadbir Johor, Datuk Dr. Badrul Hisham Kassim. – KOSMO! ONLINE
The post Perbanyakan kajian sejarah ketamadunan Melayu appeared first on Kosmo Digital.