Auto Added by WPeMatico

PETALING JAYA – Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mustapha Sakmud menafikan sekeras-kerasnya tuduhan yang cuba mengaitkan isterinya dengan insiden tragik membabitkan Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir, baru-baru ini.
Beliau berkata, tuduhan yang dilemparkan oleh Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan adalah tidak berasas dan tidak mencerminkan akhlak seorang Muslim.
Ujarnya, ia bukan sahaja mengelirukan rakyat, malah mencemarkan reputasi individu yang tidak lagi terlibat dalam perkhidmatan awam.
“Untuk makluman, isteri saya, Cikgu Rosnih Nasir, merupakan bekas Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Tun Datu Mustapha Limauan, Papar.
“Beliau hanya berkhidmat di sekolah tersebut dari 20 Mac hingga 22 November 2024 sebelum bersara sepenuhnya daripada perkhidmatan pendidikan.
“Selepas persaraan tersebut, beliau tidak mempunyai sebarang keterlibatan dalam urusan pentadbiran atau pengurusan sekolah, sama ada secara langsung mahupun tidak langsung,” katanya dalam kenyataan malam ini.
Tambah Mustapha yang juga Ahli Parlimen Sepanggar itu, insiden tragik yang menimpa Allahyarhamah Zara Qairina berlaku pada 16 hingga 17 Julai 2025, iaitu hampir lapan bulan selepas persaraan isterinya.
Tegasnya, sebarang cubaan untuk mengaitkan isterinya dengan insiden ini adalah fitnah semata-mata dan satu bentuk manipulasi politik yang tidak berasas.
“Saya dan keluarga menyeru semua pihak agar mengamalkan prinsip tabayyun, menyelidik sebelum menuduh dalam menyampaikan sebarang kenyataan.
“Hentikanlah eksploitasi terhadap tragedi ini sebagai modal politik. Hormatilah proses siasatan yang sedang dijalankan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan hentikan penyebaran fitnah yang boleh menjejaskan reputasi serta emosi individu yang tidak bersalah”, katanya.
Dalam pada itu, Mustapha turut merakamkan ucapan takziah yang setulusnya kepada keluarga Allahyarhamah Zara Qairina.
Beliau sekeluarga mendoakan agar mereka dikurniakan kekuatan menghadapi ujian ini dan semoga keadilan dapat ditegakkan dengan sebaik-baiknya buat arwah.
Sebelum ini, media melaporkan seorang pelajar tingkatan satu sebuah sekolah di Papar yang dipercayai menjadi mangsa buli meninggal dunia selepas terjatuh dari tingkat tiga sekolah tersebut.
Pelajar berkenaan disahkan meninggal dunia pada malam Khamis ketika menerima rawatan di Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu. -KOSMO! ONLINE
The post Kematian Zara Qairina: Tuduhan cuba kaitkan saya, isteri adalah tidak berasas appeared first on Kosmo Digital.