Auto Added by WPeMatico

PETALING JAYA – Keluarga kepada Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir telah melantik dua peguam dari Kota Kinabalu bagi mewakili mereka dalam semua urusan berkaitan kes kematian remaja itu.
Penceramah bebas, Marhamah Rosli menerusi satu hantaran di Facebook memaklumkan, pelantikan rasmi itu melibatkan dua peguam iaitu AlanShahlan Jufri dan Hamid Ismail.
Menurutnya, langkah itu diambil bagi mengelakkan kekeliruan dalam kalangan orang awam dan pihak media yang sebelum ini sering menghubungi beliau bertanyakan status terkini kes tersebut.
“Sejak beberapa hari lalu, saya dihujani pelbagai mesej dan panggilan, bukan sahaja daripada orang ramai dan pertubuhan bukan kerajaan, malah juga tidak putus menghubungi sejak beberapa hari lalu.
“Jadi hari ini saya buat pengumuman terbuka agar semuanya jelas dan tidak timbul lagi kekeliruan,” katanya dalam hantaran itu.
Marhamah menjelaskan bahawa segala urusan berkaitan kes berkenaan akan dikendalikan di bawah nasihat dan pemantauan pasukan peguam yang telah dilantik oleh keluarga.
Beliau turut mengalu-alukan mana-mana peguam yang ingin menyumbang idea atau cadangan supaya terus berhubung dengan barisan peguam tersebut dan tidak menghubungi waris keluarga secara langsung.
Dalam hantaran itu juga, Marhamah menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang telah menunjukkan sokongan dan keprihatinan sepanjang tempoh kes ini berlangsung.
“Kes ini bukan sekadar isu undang-undang. Ini amanah, ini nyawa, ini maruah. Dan Allah sedang memperhatikan setiap langkah kita,” ujarnya.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan, Zara Qairina, 13, pelajar tingkatan satu, Sekolah Menengah Kebangsaan Agama pada 16 Julai lalu ditemui kira-kira pukul 3 pagi dalam keadaan parah di bawah bangunan asrama sebelum dikejarkan ke Hospital Queen Elizabeth untuk rawatan lanjut.
Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia pada pukul 1 tengah hari keesokan harinya.
Kejadian terbabit menjadi tular di media sosial dan mengundang pelbagai reaksi netizen selepas ia dikaitkan dengan dakwaan kejadian buli yang didakwa berlaku di sekolah berkenaan.
Insiden itu juga mencetuskan gelombang kesedihan dan desakan keadilan bukan saja dalam kalangan rakyat Sabah malah di seluruh negara. – KOSMO! ONLINE
The post Keluarga Zara Qairina lantik 2 peguam urus kes kematian appeared first on Kosmo Digital.