Auto Added by WPeMatico

KUALA LUMPUR – Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dijangka mampu melangkah ke satu tahap lebih tinggi di bawah kepimpinan baharu selepas Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz dipilih sebagai presiden.
Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria menganggap Tengku Zafrul layak memegang tampuk kepimpinan badan induk itu berdasarkan ketokohannya dalam sektor korporat dan kerajaan.
“Kita memerlukan pemimpin yang berpengalaman dalam dunia korporat dan pada masa sama, faham mengenai struktur kerajaan. Tengku Zafrul memiliki kedua-dua kelebihan itu, malah ramai penaja BAM juga mengenali beliau,” katanya.
Mohamad Norza yang juga mantan Presiden BAM percaya gandingan yang bakal dibentuk Tengku Zafrul bersama dua Timbalan Presiden, Datuk V. Subramaniam dan Datuk Seri Jahaberdeen Mohamed Yunoos mampu menjanjikan sesuatu yang positif.
“Badminton kita sudah berada di tahap yang baik. Dengan sokongan dua Timbalan Presiden yang berpengalaman, mereka mampu membantu presiden baharu mengemudi BAM dengan lebih berkesan,” ujarnya.
Pada masa sama, beliau juga menyerahkan sepenuhnya tanggungjawab kepada Tengku Zafrul bagi mengenal pasti jurang dalam struktur BAM supaya penambahbaikan dapat dilakukan, seterusnya merealisasikan hasrat meraih pingat emas pertama Sukan Olimpik.
“Kita perlu tahu jurang yang wujud, iaitu di mana kita berada sekarang dan ke mana hala tuju selepas ini. Presiden baharu perlu mengisi jurang itu bagi mengukuhkan sistem pentadbiran sedia ada.
“Bagi meraih pingat emas Olimpik, kita memerlukan perubahan paradigma serta sasaran yang jelas dan hanya atlet benar-benar berpotensi menyumbang pingat perlu berada dalam program RTG (Road to Gold),” tambah Mohamad Norza. – KOSMO! ONLINE
The post Mohamad Norza akui Tengku Zafrul layak teraju BAM appeared first on Kosmo Digital.