Auto Added by WPeMatico

PETALING JAYA – Yayasan Peneraju (YP) melancarkan inisiatif terbaharunya, YPXLR8 (YP Accelerate), satu program strategik yang memberi peluang kepada individu bumiputera yang bekerja dalam bidang bukan teknologi untuk beralih kepada kerjaya berteraskan teknologi.
Melalui pendekatan place-and-train, program ini menyasarkan untuk membuka laluan kerjaya teknologi kepada 1,000 peserta bumiputera, di samping memenuhi
keperluan tenaga kerja mahir dalam bidang digital di Malaysia.
Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Peneraju, Ibrahim Sani berkata, YPXLR8 membuka
ruang kepada golongan bumiputera tanpa latar belakang teknologi untuk menyertai ekonomi digital.
“Dalam menghadapi gelombang revolusi AI yang dijangka mengubah landskap pekerjaan dan menjejaskan ratusan ribu pekerjaan, amat penting untuk kita memperlengkapkan jutaan bakat sedia ada dengan kemahiran dan persediaan teknologi agar mereka mampu bertahan
dan terus relevan pada masa akan datang.
“Peserta akan menjalani latihan yang relevan dengan industri melalui peluang pekerjaan sekurang-kurangnya lapan bulan bersama Syarikat Hos (Hosting Company) atau jawatan tetap, yang mana mereka dapat mengasah kemahiran penting melalui bimbingan dan
pengalaman sebenar (hands-on experience).
“Kami mengalu-alukan syarikat dari pelbagai sektor untuk bekerjasama dengan kami dan turut serta dalam inisiatif berimpak ini.,” katanya dalam kenyataan.
Ibrahim menjelaskan, pelancaran YPXLR8 bertepatan pada waktu yang sangat kritikal kini, apabila laporan global mengenal pasti transformasi digital sebagai trend paling signifikan yang memberi kesan langsung kepada pasaran pekerjaan.
Kemahiran berkaitan teknologi, khususnya dalam bidang Kecerdasan Buatan (AI), data raya (big data), rangkaian, keselamatan siber dan literasi digital dijangka menjadi antara kemahiran yang paling pesat berkembang dalam beberapa tahun akan datang.
Tambah beliau, sebagai sebahagian daripada pelaksanaan program, Yayasan Peneraju kini sedang mengenalpasti rakan industri daripada semua sektor dan industri sebagai Syarikat Hos (Hosting Company).
Jelasnya, mereka akan memainkan peranan penting dalam memberikan peluang pekerjaan
dan latihan kepada peserta dalam bidang seperti Analitik Digital, Keselamatan Siber, Perisikan Perniagaan dan yang berkaitan.
“Program ini menawarkan pelbagai insentif menarik kepada Syarikat Hos (Hosting Company) yang mengambil bahagian, termasuk akses kepada bakat yang bermotivasi tinggi serta peluang untuk menyumbang ke arah pembangunan masa depan digital Malaysia.
“Setiap peserta terpilih akan menerima sokongan kewangan sebanyak RM1,500 sebulan selama lapan bulan sepanjang program berlangsung.
“Selain itu, mereka juga akan mendapat kredit latihan sekali beri (one-off) sebanyak RM9,000 untuk memastikan mereka menerima latihan berkaitan teknologi. -KOSMO! ONLINE
The post Yayasan Peneraju lancar inisiatif untuk golongan bumiputera sertai ekonomi digital appeared first on Kosmo Digital.