Auto Added by WPeMatico

![]()
VITORIA – Kylian Mbappe muncul watak penting apabila membantu Real Madrid mencatat kemenangan penting 2-1 ke atas Alaves dalam aksi La Liga, sekali gus meredakan tekanan hebat yang melanda ketua jurulatih, Xabi Alonso.
Kemenangan di Estadio Mendizorroza itu hadir tepat pada masanya buat Alonso yang berada dalam keadaan tertekan susulan dua kekalahan berturut-turut sebelum ini, termasuk dimalukan Manchester City dalam Liga Juara-Juara Eropah.
Keputusan positif itu membolehkan Real merapatkan jurang kepada empat mata di belakang pendahulu liga, Barcelona selepas sebelum ini kehilangan kedudukan di puncak ekoran beberapa keputusan hambar sejak El Clasico hujung Oktober lalu.
Mbappe yang kembali menyertai kesebelasan utama selepas pulih daripada kecederaan lutut, membuka tirai jaringan pada minit ke-24 apabila menyempurnakan hantaran Jude Bellingham dengan rembatan padu ke penjuru atas gawang.
Gol tersebut merupakan jaringan liga ke-17 Mbappe musim ini, menjadikan jumlah keseluruhan golnya bersama Real meningkat kepada 70 sejak menyertai kelab itu pada Julai 2024.
Bagaimanapun, Alaves bangkit menyamakan kedudukan pada minit ke-68 menerusi Carlos Vicente yang hanya memerlukan satu sentuhan kemas sebelum menewaskan Thibaut Courtois sebaik dimasukkan sebagai pemain gantian.
Tekanan yang kembali dirasai Real akhirnya terlerai apabila Rodrygo meledak gol kemenangan pada minit ke-76 hasil gerakan pantas yang dimulakan Vinicius Junior dari sebelah kiri.
Kemenangan itu bukan sahaja menghidupkan semula cabaran Real dalam perebutan kejuaraan liga, malah memberi nafas baharu buat Alonso menjelang pertemuan menentang Sevilla di Santiago Bernabeu hujung minggu ini. – AGENSI
The post Mbappe selamatkan masa depan Alonso appeared first on Kosmo Digital.