Auto Added by WPeMatico

GERIK – Tular mengenai terdapatnya bau wangi semasa operasi menyelamat di lokasi kejadian kemalangan bas di Jalan Raya Timur Barat (JRTB) pada awal pagi Isnin lalu, menjadi antara perkongsian popular dalam media sosial.
Menerusi tular tersebut, seorang pemilik akaun Tiktok memuat naik hantaran pengalamannya tentang kemunculan bau wangi sewaktu operasi menyelamat sedang dilakukan dari pukul 2 hingga 5 pagi.
“Korang nak tahu tak, masa tengah operasi keluarkan adik-aduk UPSI tu, kawasan itu bau wangi sangat-sangat,” kongsinya dalam hantaran Tiktok pada hari kejadian.
Hantaran tersebut dibalas oleh beberapa pengguna lain yang menzahirkan perasaan sedih dan mendoakan mangsa.
Dalam kejadian tersebut, bas persiaran yang membawa 44 penumpang termasuk dua pemandu, terbabas dengan sebuah kereta Perodua Alza yang dinaiki empat penumpang di selekoh kilometer 53 JRTB Gerik-Jeli.
Laporan menyatakan seramai 13 meninggal dunia di tempat kejadian manakala dua lagi di hospital dengan kesemua mereka adalah pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).
Sementara itu, Ketua Balai Bomba Gerik, Mohd. Azizan Aziz tidak dapat mengesahkan dakwaan dalam hantaran tersebut.
Bagaimanapun katanya, tidak pelik jika ada bau wangi yang berkemungkinan merupakan barangan peribadi para pelajar termasuk alat pewangi yang berterabur akibat tragedi tersebut.
Seorang pemandu kenderaan berat yang mahu dikenali sebagai Faizal berkata, kawasan kemalangan di puncak Titiwangsa itu memang popular dalam kalangan mereka dan mengambil sikap berwaspada setiap kali melalui lokasi tersebut. – KOSMO! ONLINE
The post Nahas UPSI: Tidak pelik jika bau wangi di lokasi – Bomba appeared first on Kosmo Digital.