Auto Added by WPeMatico

![]()
PETALING JAYA – Masjid At-Taqwa Taman Tun Dr Ismail tampil menjelaskan situasi sebenar susulan satu hantaran di aplikasi Thread yang mendakwa suasana masjid kelihatan lengang menjelang waktu berbuka puasa.
Pengerusinya, Datuk Mohd Fadzli Yusof berkata, hantaran tersebut mengundang pelbagai reaksi netizen sehingga tercetusnya komen negatif yang didakwa boleh mencemarkan reputasi masjid berkenaan.
“Hantaran dimuat naik oleh @drfirdaus_92 pada pukul 6.32 petang itu menunjukkan suasana agak lengang tanpa kehadiran jemaah sepenuhnya.
“Hakikatnya, jemaah mula memenuhi masjid bermula pukul 7 petang sepertimana Ramadan tahun lepas apabila bilangan jemaah yang datang berbuka puasa di masjid pada tahun ini juga adalah lingkungan 800 hingga 1,000 orang setiap hari,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mohd Farzli berkata, pihak masjid menyantuni semua jemaah yang hadir tanpa syarat termasuk menempah makanan tambahan bagi menampung jemaah yang hadir terlalu ramai di luar jangkaan.
“Pihak masjid juga memperuntukkan makanan berbuka puasa untuk diagihkan kepada orang awam di Stesen MRT Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur.
“Selain itu, pihak masjid mengambil inisiatif untuk menyantuni ahli kariah yang uzur dengan menghantar makanan ke rumah mereka,” katanya.
Katanya secara keseluruhan, pihak masjid telah memperuntukkan dana sebanyak RM450,000 bagi program berbuka puasa, moreh dan sahur sepanjang Ramadan bagi tahun ini.
“Pihak masjid sentiasa cana untuk menerapkan adab-adab kepada para jemaah ketika berada di masjid. Begitu juga dengan pemerkasaan program pengajian ilmu agama.
“Pihak masjid telah menyediakan barisan asatizah bertauliah yang mencakupi pelbagai bidang pengajian ilmu agama,” katanya.
Katanya, pihak masjid mengambil berat mengenai kehadiran belia dan anak-anak ke masjid sebagai generasi pelapis yang mengimarahkan masjid.
“Justeru, pihak masjid telah merancang pelbagai inisiatif untuk menyantuni golongan belia dan kanak-kanak.
“Antaranya ialah kelas mengaji Al-Quran mingguan untuk remaja dan kanak-kanak, hari kanak-kanak peringkat masjid, program Khatan Perdana dan program Kids Zone sepanjang Ramadan dan program Semarak Cinta Al-Quran: Cilik Cinta Al-Quran,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post Masjid At-Taqwa nafi kena boikot jemaah appeared first on Kosmo Digital.
