Auto Added by WPeMatico

![]()
BALING – Dua lelaki maut selepas terlibat kemalangan membabitkan dua buah kenderaan di Kampung Sadek, Jalan Baru Kulim-Baling-Gerik di sini kira-kira pukul 9.45 malam tadi.
Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Brandon Anak Richard Joe berkata, mangsa dikenali sebagai Muhammad Mustaqim Muhd Termizi, 19, meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah.
Katanya, seorang lagi mangsa, Aminujad Amin Zuha, 19, meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Hospital Baling kira-kira pukul 10 pagi tadi.
“Hasil siasatan mendapati sebuah kereta jenis Perodua Viva yang dipandu seorang lelaki tempatan bersama dua penumpang berusia 19 tahun datang dari arah Batu Kawan, Pulau Pinang menghala ke Kampung Tiak, Kupang di sini.
“Sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Vellfire yang dipandu seorang lelaki tempatan berusia 47 tahun bersama penumpang iaitu isteri, ibu dan dua anak masing-masing berusia enam dan 10 tahun dari arah Kupang menghala ke Tawar. Kejadian kemalangan masih dalam siasatan pihak polis,” katanya di sini hari ini.
Tambahnya, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – KOSMO! ONLINE
The post Dua maut kemalangan Viva, Vellfire appeared first on Kosmo Digital.