Auto Added by WPeMatico

JOHOR BAHRU- Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) ‘belanja’ RM30 juta tahun ini untuk pelaksanaan pelbagai projek bagi menjadikan bandar raya ini mesra pelancong menjelang sambutan Tahun Melawat Johor 2026 (Visit Johor 2026).
Datuk Bandar Johor Bahru, Datuk Mohd. Haffiz Ahmad berkata, ini termasuklah pelaksanaan projek berimpak tinggi seperti menaik taraf lanskap dan sistem pencahayaan jalan bagi menampilkan nilai-nilai tradisional yang menjadi identiti negeri dan rakyat Johor.
“Lapan lokasi akan diberi tumpuan untuk dinaik taraf iaitu Monumen Sultan Abu Bakar; Linear Dato’ Onn; Segi Tiga Bukit Timbalan; Laman Tun Sri Lanang; Persiaran Abu Bakar Sultan; Jalan Ibrahim! Jalan Bukit Timbalan; Jalan Syed Mufti dan Segi Tiga Jalan Ungku Puan.
“Projek pengindahan yang dirancang ini selari dengan Rancangan Tempatan MBJB bertujuan menjadikan Johor Bahru sebuah bandar mesra pejalan kaki, ‘vibrant’ dan moden dalam menyambut 12 juta pelancong sempena Visit Johor 2026,” katanya semasa mempengerusikan Mesyuarat Penuh MBJB di Menara MBJB, di sini.
Tambah Mohd. Haffiz, pihaknya akan turut melaksanakan kerja-kerja pengindahan di kawasan-kawasan lain termasuklah mengecat bangunan lama di empat zon sekitar pusat bandar.
“Kawasan terlibat adalah Bandar Baru Uda, kawasan Tasek, kawasan Central Business District (CBD) dan Susur Tun Razak. Ini mencerminkan komitmen MBJB dalam menjadikan Johor Bahru destinasi pelancongan pilihan,”ujarnya.-KOSMO! ONLINE
The post MBJB ‘belanja’ RM30 juta, jadikan JB mesra pelancong appeared first on Kosmo Digital.