Auto Added by WPeMatico

PETALING JAYA – Keluarga Datin Seri Pamela Ling Yueh berharap usaha mengesan wanita berusia 42 tahun itu dapat dilakukan segera kerana dikhuatiri dibawa ke negara lain.
Abangnya, Simon Ling Wan Siong berkata, ia susulan kehilangan Pamela yang sudah memasuki hari ke-26 selepas dia dilaporkan hilang pada 9 April lalu.
Bagaimanapun katanya, keluarga berharap adiknya itu masih berada di Malaysia dan dalam keadaan selamat.
“Sekiranya dia dibawa ke luar negara, usaha untuk mengesannya sudah pasti akan menjadi lebih sukar,” katanya kepada Kosmo! semalam.
Mengulas lanjut, Simon berkata, pihak keluarganya masih menunggu perkembangan daripada siasatan yang dijalankan pihak berkuasa.
“Setakat ini, kami belum menerima sebarang maklum balas atau perkembangan berhubung kehilangan (Pamela), namun polis sedang melakukan siasatan,” jelasnya.
Terdahulu, Ling Yueh disyaki diculik ketika dalam perjalanan ke ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya pada 9 April lalu.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd. Isa dilaporkan menerima laporan daripada ahli keluarga mangsa di Balai Polis Presint 7 Putrajaya, pukul 3.02 petang pada hari kehilangannya.
Setakat ini, seramai 12 individu dirakam keterangan bagi membantu di bawah Seksyen 365 Kanun Keseksaan kerana melarikan seseorang dengan niat untuk mengurungnya secara salah.
Bagaimanapun, jelas Rusdi, tiada petunjuk baharu atau perkembangan mengenai keberadaan mangsa.
Terdahulu, polis mengesahkan tidak menerima sebarang permintaan wang tebusan berkaitan kehilangan wanita. – KOSMO! ONLINE
The post ‘Bimbang Pamela dibawa ke luar negara’ appeared first on Kosmo Digital.