Auto Added by WPeMatico

JOHOR BAHRU – Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail Sultan Ibrahim menitahkan agar pelaksanaan kempen anti buli secara habis-habisan dilakukan di seluruh negeri ini.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, kerajaan negeri menjunjung titah Tunku Mahkota Ismail sekaligus memastikan Johor tidak berkompromi dan tiada toleransi terhadap salah laku buli.
“Menjunjung kasih Tunku Mahkota Ismail yang baru menziarah adik Izzul Islam yang dirawat di hospital (Hospital Pakar KPJ Puteri). Untuk pengetahuan, Pemangku Sultan Johor sudah berkenan untuk adakan kempen ‘all out anti bully’.
“Kerajaan negeri akan sambut titah dan teruskan usaha untuk memastikan kita ‘zero tolerance when it come to bully on this state of Johor (tiada toleransi terhadap kejadian buli di Johor),” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mengiringi Tunku Mahkota Ismail menziarahi adik Izzul Islam Azuan Isaidi, 10, di Hospital Pakar KPJ Puteri di sini hari ini.
Terdahulu, Tunku Mahkota Ismail serta Raja Muda Johor, Tunku Iskandar Abdul Jalil Abu Bakar Ibrahim mencemar duli menziarahi kanak-kanak tersebut.
Dalam pada itu, Onn Hafiz berkata, semua agensi termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), sekolah dibawah Kementerian Pendidikan (KPM), sekolah agama, agensi-agensi dibawah kerajaan negeri akan bersama dalam memastikan kempen ini berjaya dilaksanakan.
“Pengisian dan gerak kerja akan saya kongsikan dlm masa masa terdekat. Kepada mana-mana pembuli amaran kerasnya kita tidak ada toleransi untuk sifat dan perangai begini.
“Kita nak bangsa Johor membangun secara baik, kondusif, aman dan budaya buli tak akan sama sekali kita kompromi,” katanya.
Terdahulu, ibu mangsa, Siti Suhana Misdi, 39, mendakwa anaknya, Izzul Islam dipukul dipercayai dipukul oleh seorang murid berusia 10 dan 12 tahun di hadapan kelas di sebuah sekolah agama dan kebangsaan di Skudai ada 21 Februari serta 7 Ogos.
Susulan kejadian, Siti Suhana membuat dua laporan polis pada 23 Februari di Balai Polis Skudai serta 15 Ogos lalu di Balai Polis Larkin.
Sementara itu pada itu, Ketua Polis Johor, Komisioner Ab Rahaman Arsad dilaporkan berkata, kes itu kini disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan, yang membawa hukuman penjara sehingga setahun atau denda maksimum RM2,000, atau kedua-duanya sekali. – KOSMO! ONLINE
The post Tunku Mahkota Ismail titah adakan kempen anti buli habis-habisan appeared first on Kosmo Digital.