Auto Added by WPeMatico

PETALING JAYA – Sapura Energy Berhad (SEB) telah menukar namanya kepada Vantris Energy Berhad (Vantris Energy) bagi mencerminkan usaha berterusan syarikat dalam proses transformasi korporatnya.
Perubahan ini dibuat selepas mendapat kelulusan pemegang saham dalam Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) baru-baru ini.
Dalam satu EGM berasingan pada hari yang sama juga, para pemegang saham turut meluluskan dengan majoriti besar Pelan Penstrukturan Semula Yang Dicadangkan (PRP) iaitu satu langkah penting dalam pemulihan kewangan dan operasi syarikat.
Nama Vantris Energy melambangkan matlamat dan identiti baharu Kumpulan yang mana Van” berasal daripada perkataan vanguard, yang membawa maksud berada di barisan hadapan dan bergerak ke hadapan dengan tujuan yang jelas.
Tri pula merujuk kepada komitmen Syarikat terhadap tiga nilai teras, tiga prinsip, dan tiga tonggak perniagaan manakala huruf S mewakili janji jenama Syarikat manakala Energy menegaskan sektor utama operasi Syarikat dan semangat tenaga kerjanya.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Vantris Energy, Muhammad Zamri Jusoh berkata, idea untuk nama baharu ini datang daripada warga kerja kami sendiri yang mana kami telah menerima lebih 200 penyertaan dan Vantris Energy muncul sebagai pilihan utama.
“Nama ini menandakan permulaan baharu buat syarikat, menghargai perjalanan yang telah ditempuh, serta mencerminkan kepercayaan yang ingin kami bina semula bersama para pemegang kepentingan,” katanya dalam kenyataan.
Penukaran nama ini selari dengan pelaksanaan PRP yang bakal dilaksanakan tidak lama lagi, dan telah menerima lebih 99 peratus sokongan pemegang saham, sekali gus menunjukkan keyakinan kukuh terhadap usaha pemulihan Kumpulan. -KOSMO! ONLINE
The post Sapura Energy tukar nama kepada Vantris Energy appeared first on Kosmo Digital.