Auto Added by WPeMatico

PETALING JAYA – Sebanyak RM43.7 juta pembelian telah direkodkan bagi 21.8 juta liter petrol RON95 menerusi inisiatif Budi Madani RON95 (Budi95) setakat semalam.
Setiausaha Akhbar Kanan kepada Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah berkata, ia melibatkan hampir 912,000 penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) serta anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM)
“Alhamdulillah, daripada segi pelaksanaan sistem Budi95 kekal stabil untuk kedua-dua hari tersebut.
“Malah, pengesahan MyKad di stesen minyak turut berjalan dengan lancar,” katanya semasa taklimat harian Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya hari ini.
Kerajaan memulakan inisiatif Budi95 dengan harga petrol RON95 RM1.99 seliter kepada anggota ATM dan PDRM pada 27 September lalu.
Inisiatif subsidi bersasar untuk Petrol RON95 itu kemudian disusuli dengan peluasan khas kepada 5 juta penerima STR pada 28 September 2025.
Budi95 seterusnya diperluas kepada semua 16 juta rakyat Malaysia yang layak bermula hari ini.
Tunku Nashrul menerangkan, kerajaan menetapkan harga runcit RON95 tanpa subsidi pada RM2.60 seliter untuk bulan Oktober 2025.
Bagaimanapun, katanya, penerima Budi95 dapat menikmati harga bersubsidi petrol RON95 pada RM1.99 seliter.
“Ini bermakna, kerajaan memberi manfaat subsidi kepada rakyat Malaysia sebanyak 61sen seliter menerusi insiatif Budi95.
“Berdasarkan had kelayakan 300 liter, setiap individu menerima manfaat subsidi yang mencecah RM183 sebulan,” katanya.
Ujar beliau, langkah itu membuktikan keprihatinan kerajaan dalam mengotakan janji untuk melindungi rakyat dengan memastikan mereka terus menikmati petrol RON95, ditambah dengan penjimatan bagi meringankan beban rakyat. – KOSMO! ONLINE
The post Budi95 catat 912,000 transaksi, RM43.7 juta pembelian petrol appeared first on Kosmo Digital.