Auto Added by WPeMatico

LIPIS – Dua pekerja ladang warga Bangladesh maut selepas trak pikap jenis Toyota Hilux yang mereka naiki terbabas sebelum terbalik dalam kejadian di Jalan Ladang Agropolitan Gahai, Kampung Tanjung Gahai, di sini petang semalam.
Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Ismail Man berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 3.30 petang itu, mangsa dikenali sebagai Md. Shamim Reza, 24, dan Tuhin Ali, 26, yang berada di bahagian belakang kenderaan tersebut dihempap Hilux berkenaan dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
“Siasatan awal mendapati kenderaan itu dipandu seorang lelaki tempatan berusia 52 tahun bersama enam penumpang warga Bangladesh dalam perjalanan pulang dari ladang menuju ke rumah kongsi di kampung tersebut.
“Apabila tiba di lokasi kejadian yang berselekoh dan sedikit menurun bukit, pemandu dipercayai hilang kawalan ke sebelah kiri jalan lalu terbabas sebelum terbalik,” katanya di sini hari ini.
Beliau berkata, kedua-dua mangsa meninggal dunia di tempat kejadian, manakala pemandu dan penumpang lain tidak mengalami kecederaan.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
” Pihak polis meminta saksi kejadian tampil membantu siasatan selain menasihatkan pengguna jalan raya supaya lebih berhati-hati serta memastikan kenderaan diselenggara dengan baik bagi mengelakkan tragedi seumpama ini berulang,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE
The post Dua pekerja ladang warga Bangladesh maut dihempap Hilux appeared first on Kosmo Digital.