Auto Added by WPeMatico

![]()
KUALA LUMPUR – Kertas siasatan berhubung kes kemalangan maut melibatkan sebuah motosikal dan sebuah kereta di Jalan Kuchai Lama, di sini dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR), hari ini.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd. Zamzuri Mohd. Isa berkata, tindakan itu diambil susulan pihak polis memperoleh keterangan saksi kejadian.
“Semua saksi termasuk pemilik rakaman kamera papan pemuka telah dipanggil untuk memberi keterangan.
“Hari ini kertas siasatan akan dibawa untuk dirujuk kepada TPR bagi mendapatkan arahan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, polis meminta saksi kejadian termasuk pemilik rakaman kamera papan pemuka tampil membantu siasatan berhubung kemalangan maut di Jalan Kuchai Lama, di sini 8 Disember lalu.
Dalam kejadian kira-kira pukul 12.30 tengah malam, mangsa yang menunggang motosikal jenis Honda RS150 dilanggar sebuah kereta dipandu lelaki berusia 38 tahun dari arah Sri Petaling.
Mangsa Muhammad Harish Aiman Mat Zahid, 25, disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Canselor Tuanku Muhriz pukul 7.11 pagi pada 9 Disember lepas.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan, seorang wanita tidak dapat menanggung kesedihan selepas suami yang dinikahinya sejak sebulan lalu meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya di Jalan Kuchai Lama pada 8 Disember lalu.
Rashidah Shahira Shamsuddin, 24, berkata, pada hari kejadian arwah suaminya, yang bekerja sebagai penghantar barangan baru selesai bekerja dan dalam perjalanan pulang ke rumah. – KOSMO! ONLINE
The post Kertas siasatan kemalangan maut Kuchai Lama dirujuk ke TPR appeared first on Kosmo Digital.