Auto Added by WPeMatico

LONDON – Juara Dunia Superbike (WorldSBK), Toprak Razgatlioglu bakal berdepan tugas sukar apabila beralih ke pentas Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) musim depan bersama pasukan Pramac Yamaha.
Menurut bekas pelumba MotoGP, James Toseland, kelebihan pengalaman pelumba sedia ada di litar Grand Prix (GP) bakal menjadi kekangan utama buat Toprak dalam tahun pertamanya.
“Toprak akan pergi sekurang-kurangnya 10 litar yang dia langsung tak pernah lawat atau lihat sebelum ini.
“Jadi sesi latihan 45 minit berlalu begitu pantas dan untuk kejar pelumba seperti Marc Marquez yang dah 15 tahun berlumba di sana bukan perkara mudah,” kata Toseland.
Toprak sebelum ini membina reputasi dalam saingan Superbike sejak pertengahan tahun 2010, bermula dari kelas Superstock 600 sebelum menyinar bersama Kawasaki, Yamaha dan BMW.
Pengalaman pelumba Turkiye itu di luar paddock jentera pengeluaran masih terhad dan memerlukan masa untuk menyesuaikan diri dengan jentera, pasukan serta beberapa litar seperti Red Bull Ring, Sachsenring dan Silverstone.
Bagaimanapun, Toseland percaya, sudah tiba masa buat Toprak beralih ke MotoGP kerana dia kini bertaraf legenda WorldSBK.
“Dia memang layak ke MotoGP, dah ‘outgrown’ paddock Superbike. Toprak dah capai tahap yang memerlukan dia berlumba dengan jentera paling laju dunia. Kemahirannya kini lebih tinggi daripada kemampuan motosikal pengeluaran,” katanya.
Toseland turut berkata, hanya dengan menguji keupayaan di atas jentera prototaip MotoGP barulah potensi sebenar Toprak sebagai pelumba elit dunia dapat dinilai secara adil.
Toprak bakal menjadi pelumba Turkiye kedua dalam sejarah MotoGP selepas Kenan Sofuoglu dengan penyertaan penuh pertamanya dijadualkan bermula musim depan. – AGENSI
The post Cabaran terbesar Toprak di MotoGP appeared first on Kosmo Digital.