Auto Added by WPeMatico

KUALA LUMPUR – Beberapa pendatang asing melakukan provokasi dan cuba melarikan diri ketika operasi penguatkuasaan Jabatan Imigresen (JIM) di sekitar Jalan Masjid India di sini, hari ini.
Operasi selama sejam bermula pukul 12 tengah hari itu menyaksikan seramai 758 warga asing diperiksa.
Daripada jumlah tersebut, seramai 171 individu ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen.
Menurut Pengarah Bahagian Penguatkuasaan Imigresen, Basri Othman, ketika pemeriksaan dijalankan terdapat warga asing yang bertindak agresif serta cuba menghalang pegawai daripada melaksanakan tugas.
“Mereka cuba menyamar sebagai pelanggan dan melarikan diri melalui bahagian belakang premis ketika operasi dijalankan.
“Walaupun operasi dijalankan dalam keadaan hujan, pasukan kami tetap berjaya menahan mereka yang melanggar undang-undang,” katanya kepada pemberita selepas operasi berkenaan hari ini.
Jelasnya, operasi tertumpu kepada 14 premis di kawasan tumpuan warga asing yang disyaki menggaji pekerja tanpa dokumen dan pas kerja yang sah.
“Sebahagian besar daripada mereka yang ditahan terdiri daripada warga India dan Bangladesh manakala selebihnya adalah dari Indonesia.
“Antara kesalahan yang dikenal pasti termasuk tiada dokumen perjalanan sah, tinggal lebih masa dan tiada pas kerja,” katanya.
Beliau berkata, kesemua tangkapan dibawa ke Depot Imigresen Sementara Millenium Beranang, Selangor untuk tindakan lanjut.- KOSMO! ONLINE
The post Provokasi ketika serbuan, warga asing cuba halang pegawai appeared first on Kosmo Digital.