Auto Added by WPeMatico

![]()
PETALING JAYA – Malaysia Airlines akan menyambung semula perkhidmatan penerbangan pergi dan balik ke Jeddah dan Madinah secara terhad bermula esok hingga 8 Mac ini.
Ia selepas penggantungan operasi sejak 28 Februari lalu susulan penutupan ruang udara di beberapa bahagian Asia Barat.
Menurut kenyataan Malaysia Aviation Group (MAG), perkhidmatan ke Doha bagaimanapun kekal digantung sehingga 7 Mac depan sementara syarikat penerbangan itu terus menilai situasi keselamatan semasa.
“Semua penerbangan lain termasuk ke London dan Paris Charles de Gaulle beroperasi seperti biasa menggunakan laluan alternatif yang mengelakkan zon konflik terjejas.
“Antara penerbangan yang disambung semula melibatkan laluan Kuala Lumpur–Jeddah dan Kuala Lumpur–Madinah pada beberapa tarikh terpilih iaitu 4, 5, 6 dan 8 Mac dengan jadual pelepasan serta ketibaan yang telah ditetapkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Bagaimanapun, MAG berkata perkhidmatan selepas 8 Mac depan masih tertakluk kepada semakan lanjut dan berkemungkinan disemak atau diselaraskan mengikut keperluan.
Menurut kenyataan itu juga, penumpang yang terjejas sedang dimaklumkan dan dibantu dengan pengaturan perjalanan alternatif sekiranya perlu.
“Penumpang turut dinasihatkan mengemas kini maklumat perhubungan menerusi fungsi ‘My Booking’ bagi menerima perkembangan terkini selain boleh mendapatkan bantuan melalui Live Chat di laman sesawang Malaysia Airlines atau menghubungi Pusat Panggilan Global,” katanya.
Dalam masa yang sama, Malaysia Airlines menegaskan keselamatan dan kebajikan penumpang serta kru kekal menjadi keutamaan tertinggi.
Menurutnya, antara langkah proaktif yang diambil termasuk menggunakan laluan penerbangan alternatif dan menyelaras rapat dengan pihak berkuasa penerbangan dan rakan lapangan terbang.
“Selain itu Malaysia Airlines akan memperkukuh prosedur keselamatan dalam penerbangan serta memastikan maklumat terkini disalurkan kepada penumpang.
“Syarikat penerbangan ini akan terus memantau perkembangan semasa dan mengambil segala langkah perlu bagi memastikan operasi berjalan selamat serta boleh dipercayai,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post Malaysia Airlines sambung semula penerbangan ke Jeddah, Madinah esok hingga 8 Mac ini appeared first on Kosmo Digital.
