Auto Added by WPeMatico
Teknologi mesti berkhidmat untuk manusia, bukan pengganti tenaga kerja

![]()
KUALA LUMPUR – Malaysia menegaskan pendirian bahawa kemajuan teknologi tidak boleh sekali-kali mengorbankan kesejahteraan rakyat, sebaliknya mesti menjadi pemangkin kepada peluang, kemajuan dan peningkatan taraf hidup seluruh masyarakat.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, transformasi digital yang sedang melanda dunia tidak harus dilihat sebagai ancaman kepada pekerja atau komuniti, sebaliknya sebagai alat untuk memperkukuh sumber manusia dan membuka laluan baharu kepada penciptaan nilai.
Menurutnya, teknologi tidak boleh berdiri sebagai kuasa autonomi yang menggantikan manusia, tetapi digunakan dalam mengangkat peranan dan memperkasa komuniti, meluaskan akses kepada pendidikan serta peluang ekonomi.
“Teknologi mesti berkhidmat kepada manusia. Ia mesti mengangkat komuniti, memperluas peluang dan mengukuhkan nilai dan bukan menggantikannya.
“Kita tidak mengejar kemajuan semata-mata demi kearah modern. Kita sedang membina masa depan yang inovatif dari segi keupayaan, inklusif dan mampan,” katanya ketika berucap di Sidang Kemuncak Selangor Techsphere 2025 (STS 2025) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini, hari ini.
Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air itu berkata, kerajaan yakin Malaysia memiliki kekuatan bakat, infrastruktur dan visi untuk muncul sebagai peneraju serantau dalam inovasi.
Beliau menambah, di bawah kerangka Malaysia Madani, hala tuju digital negara dibina atas prinsip bahawa pembangunan teknologi harus berteraskan nilai kemanusiaan dan manfaat sejagat.
“Ini bukan lagi soal mengejar. Ini soal menempatkan Malaysia sebagai rakan kongsi dipercayai, hab serantau dan pemain kompetitif dalam ekonomi inovasi global,” katanya.
Fadillah menegaskan bahawa inovasi tidak boleh terhad kepada makmal, syarikat besar atau pembuat dasar sahaja, sebaliknya mesti dimiliki oleh semua termasuk pelajar, usahawan kecil, jurutera muda, pendidik dan golongan pekerja biasa.
Pada masa sama, Fadillah memuji kerajaan Selangor dan Selangor Technical Development Centre kerana mewujudkan platform yang menghimpunkan industri, para akademik dan rakan global menerusi STS 2025, sekali gus mengukuhkan reputasi Selangor sebagai hab inovasi bertaraf dunia.
Sementara itu, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, STS 2025 bukan sekadar persidangan, tetapi merupakan langkah rintis yang membuka peluang baharu bagi kerjasama dalam landskap perindustrian negara.
“Pada hari ini, kita menyaksikan satu langkah rintis dalam landskap perindustrian Malaysia. Sidang kemuncak julung kali ini bukan sekadar persidangan, tetapi batu loncatan yang menggerakkan peluang dan kerjasama baharu,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa negeri ini terbuka kepada dunia untuk menyaksikan komitmen Selangor dalam sektor pembuatan maju, teknologi bersih dan pembangunan bakat berkemahiran tinggi.
“Di sinilah lahirnya idea yang merungkai cabaran, dan cita-cita diterjemah kepada kemajuan. Kita tidak menunggu masa depan tiba, kita sedang melakarnya di sini, bersama rakan kongsi global dan inovator tempatan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE
The post Teknologi mesti berkhidmat untuk manusia, bukan pengganti tenaga kerja appeared first on Kosmo Digital.