Auto Added by WPeMatico

KUALA LUMPUR – Kadar timbal balik Amerika Syarikat (AS) yang dikurangkan daripada 25 peratus kepada 19 peratus membuktikan negara memerlukan kepimpinan bukan sahaja cekap mengurus hal ehwal dalam negeri, bahkan mampu menangani isu-isu antarabangsa secara berkesan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pengurangan tarif tersebut adalah hasil rundingan diplomatik yang memberi manfaat besar kepada ekonomi negara, khususnya dalam sektor eksport berteknologi tinggi.
“Tarif 25 peratus yang merunsingkan kita diturunkan kepada 19 peratus sahaja. Kalau tinggi, kesan kepada ekonomi kita. Kita hab semikonduktor serta produk elektrik dan elektronik (E&E). Semikonduktor, Alhamdulillah tak termasuk tarif.
“Sebab mengapa pimpinan kita harus ada keupayaan kendali negara, tapi juga antarabangsa? Ada orang tanya, apa kaitan dengan AS. Kaitannya nak selamatkan puluhan ribu pekerja kita, dapatkan habuan hasil percukaian tinggi supaya boleh pulangkan kepada rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian berucap pada Majlis Perasmian Program Karnival Mega 3 Dimensi (MK3D) Tahun 2025 di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini, hari ini.
Anwar berkata, kemampuan Kerajaan Madani menyelesaikan isu tarif membuktikan bahawa diplomasi ekonomi yang dijalankan berpaksikan kebijaksanaan dan kepentingan negara, bukan sekadar retorik politik.
“Hendak bercakap boleh, hendak kritik pun boleh. Tapi kita mesti ingat, kita ada tanggungjawab untuk mengangkat martabat negara ini sebagai sebuah negara hebat. Kita ada amanah, kita kena pikul bersama,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post ‘Apa kaitan Amerika? Kaitannya nak selamatkan puluhan ribu pekerja kita’ appeared first on Kosmo Digital.