Auto Added by WPeMatico

![]()
PADANG BESAR – Cubaan sindiket menyeludup 22 ketulan mampat ganja dan lapan pil kuda menerusi tembok keselamatan di sempadan Malaysia-Thailand di sini berjaya digagalkan Pasukan Gerakan Am (PGA), semalam.
Kesemua ketulan mampat ganja itu ditemui di dalam guni putih oleh sepasukan anggota Kompeni B, Batalion 18 PGA, Pengkalan Hulu dalam Op Taring Wawasan Kedah/Perlis kira-kira pukul 7.30 pagi semalam.
Hasil pemeriksaan lanjut di kawasan sekitar turut menemui satu tiub straw berisi lapan pil kuda yang disembunyikan di dalam kotak rokok. Komander Briged Utara PGA, Senior Asisten Komisioner Shahrum Hashim berkata, guni mengandungi ganja tersebut dipercayai cuba diseludup dari negara jiran ke Malaysia melalui tembok keselamatan dengan menggunakan laluan tikus.
“Sebanyak 22 kilogram (kg) ganja yang dirampas dianggarkan bernilai RM68,200 manakala lapan pil kuda bernilai RM80,” katanya di sini hari ini.
Katanya, semua dadah berkenaan dirampas dan diserahkan kepada Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Padang Besar untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Menurutnya, Cawangan Risik Batalion 18 PGA akan meneruskan risikan bagi mengesan sindiket yang menjalankan aktiviti penyeludupan dadah di kawasan Padang Besar dan sepanjang laluan penugasan Op Taring Wawasan Kedah/Perlis.
“Kita komited untuk terus mempergiatkan usaha mengekang aktiviti penyeludupan di sempadan negara di Perlis dan Kedah. Briged Utara PGA tidak akan sesekali berkompromi dalam menguatkuasakan undang-undang, khususnya melibatkan penyeludupan di sepanjang sempadan utara negara,” ujarnya.
Beliau turut menyeru masyarakat supaya menjadi mata dan telinga bagi menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa berhubung aktiviti yang menyalahi undang-undang. – KOSMO! ONLINE
The post 22 ketulan mampat ganja cuba diseludup ikut laluan tikus appeared first on Kosmo Digital.
