Auto Added by WPeMatico

![]()
BALING – Lelaki berusia 21 tahun yang ditahan selepas dipercayai menikam mati neneknya dan menetak moyangnya hingga cedera di Kampung Baru Bakai, di sini petang semalam didakwa mengalami gangguan perasaan.
Cucu mangsa yang juga adik perempuan suspek, Nur Balqis Zylkifly, 19, berkata, abangnya sering dilihat bercakap sendirian selain kerap berhalusinasi sejak empat tahun lalu.
“Penduduk memang tahu abang ada masalah gangguan perasaan tetapi dia tidak pernah ganggu orang.
“Kami sebagai ahli keluarga juga tidak pernah diganggu selama ini kerana dia lebih banyak menghabiskan masa berseorangan di dalam bilik daripada bergaul dengan orang,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di Kampung Baru Bakai, awal pagi ini.
Dalam kejadian tragis itu, Halimah Hashim, 64, maut akibat ditikam suspek, manakala ibunya, Mariam Ariffin, 84, cedera akibat ditetak.
Menurut Nur Balqis, selama ini dia dan abangnya lebih banyak tinggal bersama nenek berbanding rumah ibu mereka, Muksinah Hanipa, 44, di Penaga, Pulau Pinang.
“Memang hubungan kami agak rapat dengan nenek dan moyang, tambahan pula ibu telah berkahwin kali kedua selepas bercerai dengan bapa membuatkan kami memilih untuk tinggal di kampung,” ujarnya.
Menceritakan kejadian, katanya, abangnya mula bertindak meracau pada pagi semalam serta turut menghubungi ibu dan memintanya segera datang ke rumah nenek.
“Emak memaklumkan dia tidak mempunyai wang untuk pulang ke kampung dan abang berkata jika tidak balik segera nanti emak akan menyesal.
“Saya yang mendengar perbualan mereka kemudian bertindak membawa emak pulang berjumpa abang sebelum menghantar emak kembali ke Penaga pada sebelah petang,” katanya.
Walau bagaimanapun, katanya, sewaktu berada di rumah ibunya pada pukul 6.44 petang semalam di Penaga, dia menerima panggilan telefon daripada bapa saudara memaklumkan abangnya telah menetak moyang mereka dan menikam mati nenek.
“Abang dikatakan bertindak sedemikian selepas dimarahi moyang dan sebaik ditegur nenek kerana mencederakan moyang, dia bertindak lebih ganas dengan menikam nenek di bahagian belakang badan yang membawa kepada kematiannya.
“Nasib baik abang tidak mengapa-apakan seorang lagi ibu saudara yang juga orang kelainan upaya (OKU) berusia 28 tahun yang tinggal bersama nenek dan moyang di rumah sama,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post Cucu tikam nenek, tetak moyang didakwa alami gangguan perasaan appeared first on Kosmo Digital.