Auto Added by WPeMatico

JASIN – Tiga lelaki masing-masing pemandu lori, pekerja pasar raya dan mekanik didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan menyebabkan kematian seorang lelaki, bulan lalu.
Tertuduh, K.Krishnamorthy, 66, Mohd. Azmi Mohd. Nor, 34, dan M. Yogesvaran, 25, bagaimanapun hanya mengangguk faham sejurus pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa dalam Bahasa Tamil dan Bahasa Melayu di hadapan Majistret Mazana Sinin.
Mengikut pertuduhan, tertuduh secara bersama-sama didakwa bagi mencapai niat bersama telah melakukan pembunuhan dengan menyebabkan kematian ke atas K.Gunalan , 52.
Perbuatan itu dilakukan antara pukul 7.37 petang sehingga 8.59 malam di tempat letak kereta depan Tadika Junior Q Bestari, Bandar Jasin Bestari dalam daerah Jasin, pada 27 Julai lalu.
Sabit kesalahan tertuduh boleh dikenakan hukuman mati mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama.
Terdahulu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Syazwanie Marizan, manakala tertuduh diwakili Peguam Amritpal Singh, Datuk Shashi Kumar Kannan dan Mathan Anandaram.
Mahkamah menetapkan tarikh 8 September depan sebagai sebutan semula kes.
Kosmo! pada 28 Julai lalu melaporkan, perbuatan seorang lelaki menunjukkan kemaluannya di khalayak ramai memakan diri apabila dia maut selepas dipukul secara beramai-ramai dalam kejadian di Bandar Jasin Bestari, di sini.
Dalam kejadian kira-kira 7.30 malam, lelaki tempatan berusia 51 tahun dan sudah berkahwin itu disahkan meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah termasuk di bahagian kepala.
Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, pihaknya menerima laporan pada pukul 9.30 malam memaklumkan seorang lelaki telah maut akibat dipukul orang awam. – KOSMO! ONLINE
The post Tiga didakwa bunuh lelaki tunjuk kemaluan appeared first on Kosmo Digital.