Auto Added by WPeMatico

SHAH ALAM – Segelintir pengusaha taska dikatakan mula mewujudkan gerakan tidak mengambil bayi bawah 12 bulan di premis mereka.
Malah, terdapat juga pengusaha taska meletakkan lebihan syarat-syarat sehingga membebankan ibu bapa.
Perkara itu didedahkan Exco Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat Selangor, Anfaal Saari apabila beliau sendiri menerima aduan daripada ibu bapa susulan kerisauan pihak taska terhadap kes-kes termasuk kematian akibat tersedak susu.
Katanya, situasi ini pastinya menyukarkan ibu bapa dalam urusan harian mereka.
“Saya kira kerisauan (ibu bapa) itu valid (sah) dan perlu diberikan perhatian serius kerana sekiranya satu gerakan untuk pengusaha taska tidak mengambil bayi bawah 12 bulan akan menjadi kesukaran kepada wanita bekerja menghantar anak sejurus habis pantang.
“Aduan itu diperoleh saya dan telah minta Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Selangor mendapatkan maklumat lebih mendalam termasuk kesan gaji minima RM1,700 berkuatkuasa 1 Ogos ini,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Townhall Dasar Wanita Selangor dan Ekonomi Penjagaan Negeri Selangor hari ini.
Beliau memberitahu, kegusaran pengusaha taska itu berkemungkinan dipengaruhi nisbah ketika ini adalah seorang pengasuh untuk tiga bayi.
Ujarnya, ini bermakna penjagaan rapi perlu dilakukan pengusaha taska bagi mengelakkan kes tidak diingini bagi mengelakkan tindakan daripada pihak berkuasa.
“Justeru, saya kira perbincangan perlu dilaksanakan di peringkat Persekutuan khususnya Kementerian Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) sama ada menyemak semula syarat nisbah itu.
“Selain itu, memberikan subsidi atau bantuan kepada operator supaya beban operasi itu dapat dikurangkan,” katanya.
Tegasnya, kerajaan negeri tidak boleh sewenang-wenangnya melonggarkan syarat berkaitan taska ini kerana ia terletak dibawah Akta Taman Asuhan Kanak-kanak.
Beliau turut memaklumkan perhatian perlu diberikan kepada para pengusaha taska yang meletakkan syarat-syarat tambahan persendirian.
“Saya kira syarat dikenakan kalau menjadi hak pengusaha taska. Namun, sekiranya menjadi gerakan besar-besaran ia akan menjadi satu perkara serius yang perlu JKM (mengambil) penguatkuasan,” tegasnya.
Dalam perkembangan berlainan, kata beliau, berdasarkan rekod sebanyak 1,105 taska telah berdaftar di Selangor setakat ini.
“Yang tidak berdaftar pula 148 taska. Angkanya berubah kerana saya yakin taska baharu dibuka pada tahun ini juga bertambah. Justeru, data itu sangat dinamik.
“Bagi plak taska berdaftar sedang giat dilakukan bagi memudahkan orang ramai mengetahui status sesebuah taska itu,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post Gerakan taska tak mahu ambil bayi appeared first on Kosmo Digital.