Auto Added by WPeMatico

KETUA jurulatih beregu wanita negara, Rosman Razak percaya undian yang memihak kepada beregu utama negara, Pearly Tan-M. Thinaah menjelang Kejohanan Badminton Dunia 2025 bukan satu jaminan selesa buat mereka.
Walaupun gandingan ranking No. 2 dunia itu diletakkan sebagai pilihan kedua dan terhindar daripada bertemu musuh tradisi dari China, Liu Sheng Shu-Tan Ning di peringkat awal, Rosman mahu memadam terus sebarang rasa selesa buat pemain negara.
Beliau menegaskan, prestasi pada hari perlawanan yang akan menjadi penentu sebenar kejayaan beregu negara itu di Paris nanti.
“Untuk Pearly-Thinaah, saya rasa bagi setiap kejohanan, kami tidak terlalu melihat pada undian kerana saingannya lebih kurang sama. Apa yang lebih penting adalah fokus kepada prestasi mereka pada hari perlawanan.
“Perlawanan pertama adalah sangat penting kerana ia adalah masa untuk menyesuaikan diri dengan keadaan ‘shuttle’ dan gelanggang yang mana kita tidak tahu apa yang akan terjadi di sana.
“Jadi, perlawanan pertama itu akan menentukan rentak untuk perlawanan seterusnya,” katanya ketika ditemui selepas sesi latihan di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara semalam.
Terdahulu pada majlis undian yang berlangsung pada Rabu, Pearly-Thinaah mendapat undian mudah dan dijangka tidak berdepan masalah untuk melangkah ke separuh akhir.
Juara Terbuka Thailand itu menerima bye di pusingan pertama dan dijangka berdepan pasangan ranking ke-14 dunia dari Indonesia, Lanny Tria Mayasari-Siti Fadia Silva Ramadhanti di pusingan ketiga dengan rekod pertemuan memihak kepada gandingan negara.
The post Undian mudah bukan jaminan di Kejohanan Dunia appeared first on Kosmo Digital.