Auto Added by WPeMatico

BASEL – Bintang sensasi England, Keira Walsh optimis membantu pasukan mempertahankan kejuaraan Euro Wanita 2025 menjelang aksi final bertemu juara dunia, Sepanyol di Stadium St. Jakob Park tengah malam ini.
Menurut Walsh, pengalaman menyarung jersi Barcelona sebelum ini membuatkannya sudah memahami ‘helah’ pemain-pemain utama Sepanyol seperti Aitana Bonmati, Alexia Putellas dan Patri Guijarro.
Walsh yang kini mewakili Chelsea berkata, barisan pemain Sepanyol memiliki bakat luar biasa terutama ketika menguasai bola dan The Lionesses perlu bersedia untuk berjuang jika mahu mengekalkan kejuaraan berprestij itu kali ini.
“Saya sering katakan sebelum ini bahawa bekas rakan sepasukan saya di Barcelona sangat hebat. Ia bukanlah satu kejutan kerana kita tahu budaya bola sepak di Sepanyol.
“Sebagai contoh, Bonmati ada kelebihan tersendiri tetapi jika kita cuba merantai gerakannya, Guijarro pula yang akan menyerlah dan kemudian pemain seperti Putellas serta bintang Arsenal, Mariona Caldentey akan menghukum pasukan,” katanya.
Mengulas mengenai strategi pada aksi final nanti, Walsh percaya ketua jurulatih, Sarina Wiegman mempunyai perancangan tersendiri dengan menggunakan kelebihan pasukan dari aspek mental dan fizikal.
“Kami tidak perlu berada dalam keadaan tertekan, sebaliknya bersabar ketika tiada penguasaan bola. Saya harap pasukan dapat fokus dan gunakan kelebihan masing-masing untuk manfaat setiap peluang yang ada,” katanya. – AGENSI
The post Lionesses yakin pertahan gelaran Euro appeared first on Kosmo Digital.