Auto Added by WPeMatico

PETALING JAYA – Lembaga Tabung Haji (TH) memaklumkan spekulasi berkenaan perbelanjaan RM20 juta untuk tujuan penjenamaan baharu (rebranding) institusi kewangan tersebut adalah tidak benar dan ia merupakan satu fitnah.
Malah kata TH, dakwaan bahawa institusi itu tidak perlu berusaha bagi memperkukuhkan jenamanya yang dikenali ramai setelah 60 tahun beroperasi juga adalah tidak tepat.
Ini kerana kata TH, pihaknya telah memperkukuhkan jenama beberapa kali sebelum ini dan ini merupakan pelaburan penting bagi mengubah minda dan menarik minat umat Islam untuk menabung secara sistematik bagi memenuhi syarat kemampuan menunaikan haji.
“Peruntukan perbelanjaan bagi proses peremajaan jenama (Brand Rejuvenation) adalah RM2 juta setahun bagi tempoh tiga tahun.
“Proses ini melibatkan tinjauan pasaran meluas dan proses libat urus bersama pihak pendeposit bagi memahami dengan lebih baik keperluan mereka dan TH mendapati perubahan demografi masyarakat Islam Malaysia mempunyai kesan yang amat ketara,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Terdahulu, spekulasi berkaitan perbelanjaan penjenamaan baharu itu TH itu dibangkitkan Ahli Parlimen Pengkalan Chepa, Datuk Ahmad Marzuk Shaary pada sidang di Dewan Rakyat minggu lalu.
Pada sesi tersebut, Ahmad Marzuk turut mendedahkan tiga firma telah dilantik untuk proses penjenamaan itu dan mereka adalah bukan syarikat muslim atau bumiputera.
Mengulas lanjut, TH berkata, ketika ini institusi itu mempunyai 9.6 juta pendeposit iaitu hanya 50 peratus dari penduduk muslim negara.
Pada masa ini juga kata TH, lebih 80 peratus daripada transaksi kewangan dilakukan secara digital dan dalam talian.
“Lebih dari 53 peratus pendeposit TH mempunyai simpanan kurang dari RM1,300 dan ini adalah jauh daripada mencukupi bagi persediaan menunaikan haji.
“Bayaran haji bagi seorang jemaah kumpulan B40 tahun 2025 adalah RM15,000,” kata TH.
Tambah TH, pihaknya juga sedang merancang kempen bagi menarik umat Islam negara untuk menabung awal, konsisten dan sistematik untuk meningkatkan simpanan ke paras yang membolehkan mereka menunaikan ibadat haji. – KOSMO! ONLINE
The post RM20 juta untuk penjenamaan baharu tidak benar, satu fitnah – TH appeared first on Kosmo Digital.