Auto Added by WPeMatico

![]()
PETALING JAYA – Orang ramai khususnya penunggang dan pembonceng motosikal dinasihatkan supaya lebih peka terhadap aspek pemakaian ketika berada di jalan raya bagi mengelakkan tragedi tidak diingini berlaku.
Menerusi satu hantaran yang dimuat naik di laman Facebook, Public Health Malaysia (PHM) memaklumkan satu kejadian membabitkan seorang lelaki maut manakala isterinya cedera parah selepas telekung dipakai tersangkut pada tayar motosikal.
Menurut PHM, insiden berkenaan bukan berpunca daripada kain telekung yang labuh terbelit pada tayar belakang sebelum motosikal hilang kawalan dan terbabas.
“Bukan sebab laju, bukan sebab langgar orang. Tapi sebab telekung yang dipakai tersangkut pada tayar motosikal, motosikal hilang kawalan, mereka terjatuh. Satu detik yang tak sempat diundur,” ujarnya.
Sehubungan itu, PHM mengingatkan orang ramai agar mengambil sekurang-kurangnya 20 saat sebelum motosikal bergerak untuk memastikan pakaian berada dalam keadaan kemas dan selamat.
Antara langkah disarankan termasuk menarik dan mengemaskan telekung ke bahu supaya tidak terurai di sisi, memakai seluar panjang di bahagian dalam bagi melindungi kaki serta mengelakkan kain terlalu labuh terjuntai berhampiran tayar dan rantai.
PHM turut menegaskan bahawa pakaian labuh seperti telekung, kain sarung, jubah dan selendang mempunyai risiko untuk tertarik masuk ke dalam komponen motosikal jika tidak dikendalikan dengan betul.
“Keselamatan di jalan raya bukan hanya tentang cara kita menunggang. Ia juga tentang benda yang melekat pada badan kita,” jelasnya.
Tambahnya, tindakan kecil seperti mengemaskan pakaian sebelum bergerak mampu menyelamatkan nyawa dan mengelakkan ahli keluarga daripada berdepan kehilangan yang tidak dijangka.- KOSMO! ONLINE
The post Kerana telekung badan binasa appeared first on Kosmo Digital.
