Auto Added by WPeMatico
‘Jenazah abang ipar tiba esok, syukur tak perlu buang organ’

PELAKON Riezman Khuzaimi meluahkan rasa syukur apabila jenazah abang iparnya, Rennie Abdul Ghani, 57, yang meninggal dunia akibat terjatuh sewaktu mendaki di Gunung Rinjani di Lombok, Indonesia sabtu lalu tidak perlu diawet untuk dibawa pulang ke tanah air.
Menurut Riezman atau nama lengkapnya Mohd Rizman Mohd Khuzaimi, 55, antara prosesur untuk membawa pulang jenazah ke Malaysia adalah organ dalam tubuh jenazah perlu dikeluarkan terlebih dahulu.
Alhamdulillah pasukan keselamatan di sana telah berjaya mengeluarkan jenazah daripada tempat arwah terjatuh. Proses membawa keluar mengambil masa kira-kira 14 jam kerana helikopter tidak dapat mendarat di lokasi kejadian. Jadi mereka terpaksa pikul jenazah hingga ke ‘check point’.
“Jenazah dibawa ke hospital dan saya telah mohon agar pihak hospital menguruskan jenazah termasuklah mandi serta kafankan. Sekarang saya tengah tunggu pengesahan daripada pihak kedutaan di Jakarta untuk proses membawa pulang jenazah ke Malaysia.
Seperti yang kita tahu, antara prosedur untuk membawa pulang jenazah menaiki pesawat adalah jenazah perlu diawet dan segala organ perlu dikeluarkan. Saya tak galakkan sebegitu kerana seperti menyiksa jenazah. Lebih baik kebumi di sana sahaja.
“Tetapi pukul 3 pagi tadi kami dapat panggilan telefon daripada hospital mengatakan bahawa mereka boleh lakukan prosedur suntikan formalin tanpa mengeluarkan organ. Kerana jarak perjalanan di antara Lombok dan Kuala Lumpur hanya mengambil masa tiga jam,” katanya kepada HibGlam.
Tambahnya, mereka masih menanti keputusan daripada pihak hospital dan jenazah dijangka tiba di lapangan terbang KLIA 2 pukul 9 malam esok menerusi penerbangan Air Asia.
Ditanya bagaimana keadaan isterinya iaitu Datuk Azie Sheikh Mohd, kata Riezman belahan jiwanya itu kini masih terkejut dan bersedih kerana baru sahaja bertemu semula dengan abang kandungnya enam tahun lalu.
Dia memang sangat ‘down’ sekarang. Dia sangat rapat dengan arwah. Mereka baru sahaja bertemu semula enam tahun lalu. Mereka sebapa tapi berlainan ibu. Arwah anak sulung, isteri saya anak kedua.
“Sewaktu saya berkahwin dengan isteri pun, dia masih lagi sedang mencari adik-beradiknya. Dia ada 10 adik-beradik. Alhamdulillah semua telah berjaya berkumpul.
Bulan Ramadan baru-baru ini adik lelakinya meninggal dunia kerana serangan jantung. Kali ini abangnya pula pergi. Memang dia sangat-sangat sedih. Sebab itu saya beritahu dia biar saya yang urusankan segala urusan membawa pulang jenazah bersama anak sulung arwah,” kongsinya.
Riezman turut meluahkan rasa ralat apabila tidak dapat menunaikan hasrat terakhir arwah untuk sertai larian marathon bersama.
“Saya pun sebelum ini aktif mendaki. Cuma sejak kebelakangan ini saya kurangkan aktiviti mendaki dan lebih tumpu kepada sukan marathon.
Arwah beritahu saya ini adalah kali terakhir dia nak panjat gunung, lepas ni dia nak sertai marathon dengan. Dia dah beli kasut untuk sertai marathon pada Jun depan.
“Agak sedih bila memikirkan kata-katanya. Masih terngiang-ngiang kerana baru dua minggu lepas saya bertemu dengannya,” ujar Riezman.
Terdahulu sebelum ini media melaporkan pendaki warga Malaysia dilaporkan terjatuh di laluan Toren, Gunung Rinjani di Pulau Lombok, Nusa Tenggara Barat sekitar 12 tengah hari waktu tempatan, menurut pihak berkuasa taman negara.
Pihak taman negara menjelaskan pendaki yang dikenali dengan inisial RAG dilaporkan terjatuh di kawasan Banyu Urip oleh seorang juru pandu dari agensi pendakian, Juan Adventure Rinjani. – HIBGLAM
The post ‘Jenazah abang ipar tiba esok, syukur tak perlu buang organ’ appeared first on HibGlam.