Auto Added by WPeMatico

PETALING JAYA – Cadangan menggubal Akta Pembaharuan Semula Bandar (PSB) tidak boleh dilakukan secara tergesa-gesa kerana ia melibatkan masa depan ribuan penduduk bandar yang berpendapatan rendah.
Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, kerajaan perlu berhati-hati kerana pelaksanaan akta itu boleh menyebabkan rakyat kehilangan tempat tinggal sekiranya pemaju gagal menyiapkan projek.
“Bila kita nak cerita pasal URA (PSB) ini, dia tak boleh rush. Kalau kita terburu-buru lulus di Parlimen, kemudian timbul masalah, rakyat yang jadi mangsa. Ini bukan perkara kecil kerana ia menyentuh soal rumah, kos sara hidup dan masa depan keluarga
“Apa yang berlaku di Kampung Sungai Baru ini sepatutnya menjadi pengajaran kepada URA,” katanya dalam Podcast Utama, Buletin TV3 malam ini.
Johari yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi berkata, golongan B40 paling terkesan kerana kos penempatan sementara tinggi, mencecah RM5,000 hingga RM10,000 sebulan.
“Kalau pemaju bankrap, akhirnya penduduk yang asalnya ada rumah boleh jadi setinggan. Ini risiko besar,” jelasnya.
Johari turut memberi contoh projek Flat Razak yang terbengkalai sejak 16 tahun lalu, sehingga penduduk yang dipindahkan masih belum kembali ke rumah asal.
“Kita jangan ulang kesilapan. Biar kerajaan selesaikan dulu isu Kampung Sungai Baru dan Flat Tun Razak. Baru boleh dijadikan contoh sebelum URA digubal,” katanya.
Kemelut pembangunan Kampung Sungai Baru menyaksikan ketegangan berlaku baru-baru ini ketika pihak pemaju melaksanakan proses pengosongan premis yang terlibat bersama bailif mahkamah.
Ketegangan tersebut turut menyebabkan Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman, cedera. – KOSMO! ONLINE
The post PSB tak boleh dilulus terburu-buru appeared first on Kosmo Digital.