Auto Added by WPeMatico

![]()
HASRAT beregu lelaki negara, Man Wei Chong-Tee Kai Wun melangkah ke perlawanan akhir Kejohanan Badminton Terbuka Hylo di Jerman tidak kesampaian apabila tersingkir di separuh akhir.
Pada perlawanan di Saarlandhalle, Saarbrucken malam kelmarin, beregu No. 5 dunia itu tewas 16-21, 15-21 kepada gandingan Indonesia, Sabar Karyaman Gutama-Moh Reza Pahlevi Isfahani.
Lebih mengejutkan, Kai Wun sebenarnya beraksi dalam keadaan menahan sakit sepanjang kejohanan Jelajah Dunia Super 500 itu kerana baru sahaja pulih daripada kecederaan koyak otot betis sebelum ini.
Menerusi IG Story dimuat naik selepas tamat perlawanan, Kai Wun memohon maaf kerana tidak dapat meneruskan kemaraan ke pentas final selain berkongsi gambar dia sedang menerima rawatan.
“Maaf semua, saya sudah berusaha sedaya upaya. Sebelum datang ke pertandingan (Terbuka Hylo) pun saya tidak tahu sama ada boleh bertahan sampai sekarang tetapi saya gembira dengan aksi yang ditunjukkan.
“Terima kasih kepada semua atas dorongan serta sokongan berterusan yang diberikan kepada saya,” katanya.
Gara-gara kecederaan dialami, juara Malaysia Masters dan Indonesia Masters itu terpaksa menarik diri daripada beberapa kejohanan sebelum ini, termasuk Terbuka Arctic di Finland serta Terbuka Denmark.
Walaupun belum pulih daripada kecederaan, namun ketua jurulatih beregu lelaki negara, Herry Iman Pierngadi memberi gambaran Wei Chong-Kai Wun akan menyertai Kumamoto Masters minggu depan dalam usaha mengutip mata ke Jelajah Dunia Akhir pada Disember nanti.
“Permainan mereka tidak maksimum dan banyak melakukan kesilapan kerana kondisi Tee (Kai Wun) tidak 100 peratus. Mungkin akan ke Kumamoto bagi mengutip mata kelayakan Jelajah Dunia Akhir,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE
The post Kai Wun dedah tahan sakit di Hylo appeared first on Kosmo Digital.






